Ambil iktibar kejadian tanah runtuh

No Image Caption
A
A
A

KEJADIAN tanah runtuh yang meragut dua nyawa di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Ipoh, Perak pada Khamis minggu lalu mengejutkan semua pihak dan mengundang rasa sedih rakyat.

Laluan berkenaan adalah jalan utama menghubungkan Perak ke kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, selain Jalan Tapah ke Ringlet, Pahang.

Jalan itu juga boleh dianggap sebagai laluan ekonomi buat pembekal sayur-sayuran tanah tinggi, selain lokasi tumpuan pelancong.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus dalam kejadian jam 1.30 petang itu mengambil masa lebih 10 jam.

Operasi melibatkan seramai 143 pegawai dan anggota pelbagai agensi, antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang turut dibantu pasukan elit - Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Unit Anjing Pengesan (K9) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Syabas buat pasukan penyelamat kerana berjaya membawa keluar mangsa kejadian.

Kesukaran yang dihadapi pasukan penyelamat adalah struktur tanah masih rapuh, selain posisi mangsa dalam kenderaan yang dinaiki menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa membuat ‘lubang’ dari bawah sebagai laluan untuk mengeluarkan mangsa.

Perkara itu dikongsi oleh anggota penyelamat sebaik sahaja operasi ditamatkan selepas tidak menemui petunjuk baharu keberadaan mangsa lain dalam runtuhan besar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Runtuhan tersebut boleh dianggap sebagai satu tragedi kerana lokasi cerun runtuh disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bukanlah kawasan berisiko kepada pengguna jalan raya.

Kawasan runtuhan di Seksyen 27 itu tidak termasuk dalam radar kawasan berisiko tinggi untuk mengalami tanah runtuh.

Lokasi

Menurut JKR, hanya terdapat tiga lokasi berisiko tinggi mengalami kejadian tanah runtuh di sepanjang laluan berkenaan iaitu di Seksyen 38 hingga 46. Namun, tiga lokasi berkenaan didapati stabil apabila terdapat satu pusat pemantauan cerun di Seksyen 44.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku disahkan berpunca daripada keadaan cuaca semasa pada musim tengkujuh.

Kadar taburan hujan agak tinggi iaitu 217 mililiter selama dua minggu dan berterusan mengakibatkan kelemahan pada tebing jalan, seterusnya menyebabkan berlaku runtuhan tanah.

Tragedi tersebut boleh dikatakan sebagai bencana alam yang bukannya disebabkan pembangunan pertanian atau penerokaan haram.

Apa pun, insiden itu wajar dijadikan pengajaran kepada pihak berkuasa yang perlu mengambil tindakan efektif dengan meningkatkan pemantauan di kawasan lereng bukit terutama di kawasan penempatan bagi mengelak insiden sama berulang.

Insiden alam sebegini bukan sahaja mengakibatkan kerosakan seperti beberapa siri runtuhan kecil yang berlaku di Jalan Tapah- Ringlet, bulan lalu, malah telah mengorbankan nyawa manusia.

Sejak tahun 2017 sudah terdapat sebanyak tujuh kes tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di laluan yang menuju pusat peranginan tersebut.

Ini menunjukkan bahawa kejadian tanah runtuh ini adalah perkara yang amat serius kerana sudah melibatkan banyak nyawa manusia.

Malah status Cameron Highlands sebagai sebuah pusat pelancongan yang terkemuka di negara ini juga akan terjejas disebabkan kejadian tersebut.

Justeru itu memang sudah sampai masanya bagi pihak yang bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu bagi memastikan perkasa yang sama tidak berulang pada masa depan.

Pemantauan gerakan tanah penting dan boleh dielak jika pengguna atau penduduk berhampiran berwaspada dengan gelongsor tanah walaupun kecil dengan melaporkan kepada JKR.

Jika dapat dikesan lebih awal, ia dapat mengelak berlaku kemalangan jiwa.

Begitu juga di kawasan pembangunan, sekiranya perancangan berteraskan kelestarian alam sekitar mungkin ia dapat mengelak insiden lain termasuk banjir kilat.

Penulis juga hendak menegur kepada pihak yang berkenaan supaya menghentikan sebarang projek pembangunan yang mungkin akan merosakkan alam sekitar.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian Perak