Hati-hati bercuti ketika musim tengkujuh

No Image Caption
A
A
A

MERAK Jalanan tahu ramai yang bercadang untuk bercuti dan melancong bulan ini.

Merak Jalanan pun sama juga, terpaksa bercuti sebab perlu habiskan cuti tahunan yang banyak.

Masih ada 20 hari cuti tahunan belum digunakan sebab tahun ini tak banyak peluang nak jalan-jalan disebabkan kekangan rentas negeri dan daerah.

Apa pun, Merak Jalanan nak ingatkan sekarang dah masuk musim tengkujuh.

Setiap hari akan hujan, jadi jika nak melancong dalam negara, perlu pilih lokasi yang sesuai.

Kalau boleh elakkan lokasi yang ada potensi banjir dan tanah runtuh, selain sentiasa berhati-hati semasa memandu ketika hujan lebat.

Dan jika boleh, elakkan juga bercuti di negeri-negeri yang berdepan musim tengkujuh seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor hingga awal Januari 2022.

Musim tengkujuh berlaku susulan peralihan Monsun Timur Laut yang bermula pada 3 November dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Bukan tak boleh bercuti tetapi perlu sentiasa waspada dan pantau anak-anak terutama ketika hujan.

Merak Jalanan tak mahu ada insiden tidak diingini berlaku.

Kita boleh rancang awal lokasi percutian yang menjadi pilihan, malah boleh batalkan jika perlu.

Nyawa lebih berharga daripada keseronokan bercuti.

Sebarang kelekaan boleh mendatangkan risiko nyawa kepada diri sendiri mahupun anak-anak.

Ibu bapa perlu peka, misalnya ambil berat tanda-tanda amaran di tempat rekreasi seperti sungai dan pantai ataupun tanya kepada penduduk setempat mengenai keadaan pantai atau sungai di lokasi anda bercuti.

Pengalaman Merak Jalanan bercuti di tepi pantai, ada ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka mandi sendiri tanpa pengawasan.

Sangat tidak bertanggungjawab!

Bercuti pada musim tengkujuh bukan tak boleh tetapi perlu waspada.