Baru keluar penjara, bekas banduan ditangkap meragut

Yahaya menunjukkan antara barang kes yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.
Yahaya menunjukkan antara barang kes yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas banduan yang baru dua minggu dibebaskan dari penjara ditahan polis kerana disyaki meragut seorang warga emas di sini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 65 tahun yang mendakwa diragut ketika berjalan sendirian di Taman Connaught, Cheras di sini pada Isnin.

Beliau berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.15 pagi, mangsa ketika berada di tempat kejadian didatangi seorang lelaki dari arah belakang sebelum bertindak meragut beg silang milik wanita berkenaan.

"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras yang sedang melakukan pemantauan cegah jenayah di kawasan tersebut telah melihat kejadian berkenaan.

"Anggota polis berjaya menangkap suspek yang cuba melarikan diri bersama dengan beg silang mangsa dan merampas sebilah pisau pemotong kertas daripada lelaki itu," katanya dalam sidang akhbar di IPD Cheras di sini pada Khamis.

Yahaya berkata, semakan mendapati suspek yang berusia 29 tahun mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Suspek direman tujuh hari sehingga 13 Disember di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: