Aksi Spurs menentang Rennes dibatalkan

Stadium Tottenham Hotspur.
Stadium Tottenham Hotspur.
A
A
A

PERLAWANAN Liga Conference Europa antara Tottenham Hotspur menentang Rennes pada Khamis di laman sendiri terpaksa dibatalkan susulan peningkatan jumlah kes Covid-19 dalam pasukan tersebut.

Perkara itu disahkan Spurs dalam satu kenyataan yang mana sebelum ini, terdapat 13 kes positif dalam skuad Lilywhites yang membabitkan lapan pemain dan lima kakitangan.

“Perlawanan pada Liga Conference Europa kumpulan G menentang Stade Rennais pada Khamis di laman sendiri tidak akan berlangsung selepas beberapa kes positif Covid-19 di kelab kami

"Perbincangan sedang berjalan dengan UEFA dan kami akan memberikan maklumat terkini mengenai perlawanan ini dalam masa terdekat.

"Selain itu, kelab telah dinasihatkan untuk menutup kawasan pasukan pertama dan pusat latihan pada masa ini, demi kepentingan kesihatan dan keselamatan pemain dan kakitangan," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun dalam kenyataan itu, Spurs masih belum memberi jawapan sama ada perlawanan mereka selepas ini akan berlangsung seperti biasa atau tidak.

Skuad kendalian Antonio Conte itu dijadualkan menentang Brighton & Hove Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Ahad, diikuti Leicester City pada 16 Disember dan Liverpool pada 19 Disember.

Sementara itu Conte tanpa berselindung sangat kecewa dengan nasib yang menimpa pasukan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan itu membuatkan saya sangat kecewa kerana keadaannya serius. Penyakit itu berjangkit dan terdapat jangkitan besar berlaku ketika ini di Spurs.

“Jujur ketika ini pasukan agak takut kerana esok kami tidak tahu apa yang akan berlaku dan sudah tentu ia bukan situasi yang baik,” katanya.