Benteng Harimau Malaya waspada kelibat Billy

Billy Ketkeophomphone
Billy Ketkeophomphone
A
A
A

BARISAN pertahanan Harimau Malaya harus berwaspada dengan kelibat penyerang tinggi lampai, Billy Ketkeophomphone jika tidak mahu diaibkan Laos dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan pada Khamis.

Penjaga gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat berkata, pemain yang beraksi bersama kelab Ligue 2 Perancis, USL Dunkerque itu mampu menghadirkan ancaman besar.

“Kita tahu kualiti dia (Billy), jadi kami semua kena berwaspada dengan pemain utama Laos. Coach Tan (Cheng Hoe) juga sudah maklumkan dan tunjuk video cara Laos bermain, apa yang kami dapat itu, kami kena gunakan di padang nanti.

“Sudah tentu kami inginkan kemenangan untuk kutip mata penuh, misi utama adalah dapat tiga mata. Bagi saya sendiri mahu pastikan gawang tidak dibolosi dan pemain lain pula pasti mahu mendapatkan jaringan.

“Namun, kami tidak akan ambil mudah perlawanan ini. Apa pun paling penting meraih tiga mata dan ia menjadi sasaran utama kami ketika ini,” katanya dalam sidang media secara maya pada Rabu.

Dalam aksi sulung menentang Kemboja Isnin lalu, Khairul Fahmi dibolosi satu gol menerusi jaringan penalti ‘kontroversi’ ketika Harimau Malaya menang 3-1.

Bagi mengelak kesilapan sama berulang, Khairul Fahmi atau lebih terkenal dengan panggilan Apek mengakui dia perlu lebih berhati-hati apabila berdepan Laos nanti.

“Ia (bolos berdepan Kemboja) beri kesan sebab setiap penjaga gol mesti kita tak nak bolos. Tapi yang penting bagi saya, kami dapat tiga mata penuh. Kami kena lebih lagi berhati-hati,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kemungkinan Harimau Malaya bakal mendapat khidmat seorang lagi penjaga gol selepas Khairulazhan Khalid positif Covid-19, Khairul Fahmi berkata: “Perkara itu biar coach buat keputusan. Semua bersedia dengan sebarang kemungkinan,” jelasnya.