Kpah Sherman sah milik TFC

Kpah Sherman - Foto Facebook Terenggan FC
Kpah Sherman - Foto Facebook Terenggan FC
A
A
A

SKUAD Penyu musim depan akan diperkuat dengan kehadiran penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman yang bakal menyarung jersi nombor sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, beliau amat berbesar hati kerana pemain tersebut memilih untuk berhijrah ke Terengganu biarpun berpeluang beraksi di pentas Asia bersama bekas pasukannya, Kedah Darul Aman FC (Kedah) musim hadapan.

Beliau berkata, Sherman yang juga penyerang kebangsaan Liberia telah menandatangani kontrak selama setahun dengan TFC dan kehadirannya diyakini akan membantu pasukan meraih kejuaraan bagi musim 2022.

“Antara faktor utama beliau (Sherman) memilih berhijrah ke Terengganu disebabkan yakin dengan potensi skuad Penyu untuk meraih kejuaraan akan datang. Selain itu corak permainan TFC juga dilihat sangat sesuai dengan gaya permainan beliau.

“Jadi kita harap kehadiran Sherman yang telah meledak 13 gol dalam Liga Super musim ini, akan melengkapkan 'puzzle' kejuaraan TFC yang belum menjadi realiti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun nasib berbeza buat empat pemain import Terengganu yang tidak lagi bersama pasukan tersebut untuk saingan musim depan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas, ‘jodoh’ skuad Penyu bersama penyerang kelahiran Brazil David Da Silva, Carli De Murga, Dechi Marcel dan Makan Konate tidak berpanjangan dan mereka akan membawa haluan masing-masing.

“Tetapi dua pemain import iaitu Jordan Mintah dan Argzim Redzovic akan dinaikkan pangkat dari skuad adik, Terengganu FC ll (TFC ll) ke skuad abang, TFC.

Artikel Berkaitan:

“Kami meletakkan sepenuh kepercayaan agar mereka dapat memperagakan aksi terbaik dan konsisten musim depan, dalam misi memperbaiki kedudukan Liga Super dan Liga Perdana selain melayakkan diri ke pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim 2023,” katanya.

Sebelum ini, dua pemain tempatan iaitu bekas kapten Perak FC Nasir Basharuddin dan pemain muda berbakat Muhammad Mohd Fauzi, turut mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Penyu setelah kontrak mereka berakhir hujung bulan lalu. - Bernama