Pemandu lalok rempuh remaja hingga melambung direman

Suspek (tengah) berjalan menuju ke bilik reman Mahkamah Majistret Bachok pada Rabu. - Foto: SINAR HARIAN
Suspek (tengah) berjalan menuju ke bilik reman Mahkamah Majistret Bachok pada Rabu. - Foto: SINAR HARIAN
A
A
A

BACHOK - Pemandu kereta jenis Honda Civic EK berwarna kuning yang merempuh penunggang sebuah motosikal hingga mangsa melambung ke atas bumbung sebuah bengkel di tepi jalan di Mahligai di sini pada Selasa dikenakan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Perintah terhadap lelaki yang berusia 36 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, tempoh reman terhadap suspek berkuat kuasa selama empat hari bermula pada Rabu sehingga Sabtu ini.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sendiri itu ditahan bagi membantu siasatan berkait kejadian kemalangan itu dan penyeludupan dadah yang terbongkar apabila tiga gram heroin serta 102 pil kuda ditemui ketika pemeriksaan dilakukan oleh polis ke atasnya selepas kemalangan itu.

“Berlaku pergelutan ketika pemeriksaan fizikal dilakukan sebelum polis menjumpai dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar tiga gram dan 102 biji pil kuda yang keseluruhannya bernilai RM3,020.

“Sehubungan itu, suspek yang beralamat di Selising, Pasir Puteh itu ditahan bagi membantu siasatan bukan sahaja berkait kes kemalangan tetapi juga berkaitan dadah-dadah yang ditemui pada suspek,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Mangsa, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, 19, terbaring sambil diusing untuk diturunkan dari atap oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan tangga.
Mangsa, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, 19, terbaring sambil diusing untuk diturunkan dari atap oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan tangga.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan penunggang motosikal terbabit, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, 19, mengalami patah paha kiri dan tangan kiri akibat rempuhan kuat kereta dipandu suspek hingga melambung dan terlentang di atas atap zink sebuah bengkel di tepi jalan.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika itu bertindak memotong kereta Perodua Kancil di hadapannya sebelum masuk ke kanan jalan dan merempuh motosikal mangsa dari arah bertentangan.