Sekolah zakat Kedah bantu atasi keciciran pelajar

Laporan Sinar Harian pada 7 Disember 2021
Laporan Sinar Harian pada 7 Disember 2021
A
A
A
ALOR SETAR - Penubuhan sekolah zakat di bawah kelolaan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sejak 2018 di Kedah diharap dapat membantu mengatasi masalah keciciran pelajar.

Ketua Pegawai Operasi Lembaga Pengurusan Sekolah Zakat, Leftenan Kolonel Bersekutu Dr Mohd Faisal Mustafa berkata, setakat ini, terdapat tiga sekolah zakat di Kedah termasuklah Kolej Agama Sultan Abdul Halim, di sini dan Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Sik.

"Sehingga kini, kita memiliki lebih 300 pelajar tingkatan satu hingga lima yang kebanyakannya keluarga miskin tegar daripada golongan B10 dan orang asli di negeri ini.

"Semua kos pelajar di sekolah zakat Kedah meliputi makan minum, asrama, belajar dan sebagainya adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya LZNK," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau memberitahu pelajar turut diberikan telefon dan data ketika pelaksanan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi memastikan mereka tidak keciciran dalam pelajaran.

"Kita dapati ada pelajar hilang minat belajar atas pelbagai faktor masalah ekonomi keluarga, mampu menjana pendapatan sendiri sehinggalah disebabkan enggan diejek dan dihina," katanya.

Sehubungan itu, katanya, sekolah zakat Kedah menerapkan modul berbeza dengan konsep Sekolah Ulul Albab Zakat dan Sekolah Keusahawan Zakat Kedah bagi menarik minat pelajar.

"Misalnya, kita menawarkan modul keusahawanan mengandungi pengajaran tentang asas praktikal reka bentuk grafik, multimedia dan fotografi bagi membolehkan pelajar yang menamatkan pengajian memiliki ilmu yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan mereka," katanya.

Tambah beliau, sekolah zakat Kedah melaksanakan modul pertahanan awam untuk dijadikan Sekolah Watak Zakat (Kadet Sekolah Pertahanan Awam) Kedah bagi membolehkan pelajar mampu menguruskan diri dan berdisplin.
Artikel Berkaitan:


"Justeru, kita menyasarkan membuka sekolah zakat baharu di Kulim seterusnya di seluruh Kedah dalam usaha membantu dan menarik minat pelajar, sekali gus melahirkan generasi berkemahiran khususnya bidang digital," kata beliau.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kesempitan hidup, hilang punca pendapatan dan masalah pengangkutan menjadi antara faktor ibu bapa terpaksa mengambil keputusan memberhentikan persekolahan anak mereka.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengeluarkan kenyataan mengenai 21,316 pelajar yang berhenti sekolah sejak Mac 2020 menerusi satu ciapan di Twitter pada pagi Ahad.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin memberitahu sesi persekolahan secara bersemuka berupaya mengatasi masalah keciciran pelajaran dalam tempoh pandemik.