Malaysia hasrat dipilih semula sebagai ahli Majlis IMO

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia berhasrat dipilih semula sebagai Ahli Majlis (kategori C) Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi penggal kesembilan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam ucapan pencalonannya pada Perhimpunan Agung IMO kali ke-32.

“Pencalonan kami mencerminkan komitmen untuk meneruskan kerjasama sedia ada, serta ke arah usaha untuk masa hadapan, memajukan dan mengukuhkan hubungan pelbagai kerjasama antara Malaysia dengan IMO dan sebagai balasannya berkembang dan melengkapkan misi jangka panjang untuk mempromosikan perkapalan yang selamat, terjamin, mesra alam, efisien dan mampan,” katanya.

Malaysia menyertai Konvensyen IMO pada 12 Jun 1971 dan menjadi ahli rasmi pertubuhan itu dan tahun ini melakarkan ulang tahun ke-50 Malaysia sebagai negara anggota IMO.

Dalam ucapannya, Ka Siong berkata, Malaysia dalam tempoh 50 tahun lepas telah meratifikasikan 26 daripada 58 konvensyen IMO, semuanya dalam semangat untuk memastikan keselamatan perkapalan dan perlindungan persekitaran marin diberi keutamaan.

"Sejak menjadi ahli IMO, Malaysia memainkan peranan aktif dalam banyak forum IMO khususnya Program Kerjasama Teknikal Antarabangsa (ITCP)," katanya.

Pada 2013, Malaysia memberi komitmen dalam bantuan kewangan dan sumbangan berbentuk barangan kepada ITCP dan sejak itu, Malaysia berjaya mengadakan program latihan kepada lebih 500 peserta dari lebih 50 negara anggota.

Dalam meneruskan sokongan terhadap pembangunan kapasiti, Malaysia menyumbang AS$117,400 kepada Universiti Maritim Dunia sebagai geran untuk biasiswa, katanya.

Ka Siong berkata, Malaysia juga menyertai Projek IMO Green Voyage 2050, satu inisiatif bersama IMO dan Norway dan memaklumkan bahawa Malaysia baru-baru ini telah memulakan projek perintis untuk menyokong peralihan perkapalan ke masa depan yang rendah karbon.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang mencabar akibat pandemik Covid-19, Ka Siong berkata, setiap negara anggota menghadapi situasi sukar dan Malaysia tidak terkecuali.

“Kita juga, mengalami kesusahan. Namun, dalam senario yang terhad, Malaysia telah memastikan hak pelaut dilindungi dan proses untuk menukar anak kapal serta rawatan perubatan yang berhak diterima mereka, disediakan sewajarnya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Malaysia memperuntukkan £25,000 kepada IMO sebagai inisiatif membantu pelaut semasa pandemik Covid-19.