X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Lebih kepada pertembungan GPS, DAP dan PSB: Penganalisis

Pilihan raya pada 18 Disember ini menarik jumlah penyertaan calon terbesar dalam sejarah apabila 349 calon hadir di pusat penamaan calon.
A
A

KUALA LUMPUR - Ramai dalam kalangan penganalisis politik berpandangan bahawa walaupun Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) ‘sesak’ dengan penyertaan calon dari pelbagai parti dan calon bebas, namun pertandingan sebenar adalah antara parti kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di satu pihak dan DAP serta Parti Sarawak Bersatu (PSB) di satu pihak lagi.

Pilihan raya pada 18 Disember ini menarik jumlah penyertaan calon terbesar dalam sejarah apabila 349 calon daripada parti-parti dalam GPS, sembilan pakatan pembangkang serta calon-calon bebas hadir di pusat penamaan calon (PPC) yang disediakan antara pukul 9 dan 10 pagi Isnin bagi menawarkan diri untuk bertanding.

GPS akan dicabar di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya buat kali pertama sebagai gabungan parti tempatan sepenuhnya, selepas ia bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Pemerhati politik, Dr Jeniri Amir dan Dr Lee Kuok Tiung, kedua-duanya anak Sarawak, senada jelas tidak terperanjat dengan jumlah calon yang besar itu.

“Kali ini memang ‘ sesak’, namun pertarungan sebenar adalah DAP dan PSB menentang GPS. Parti-parti atau calon bebas pula akan menghadapi cabaran yang sengit. Soalnya berapa banyak kerusi yang boleh dimiliki pembangkang, bukan mudah untuk menawarkan GPS, yang pastinya akan menang dalam PRN ini,” kata bekas pensyarah Universiti Malaysia Sarawak yang kini merupakan Felo Kanan Majlis Profesor Negara.

Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah pula merumuskan, keseluruhan situasi bagaikan pertembungan tiga penjuru, dengan mengatakan bahawa DAP dan PSB adalah parti politik yang boleh menampilkan ‘pertarungan sengit’ dalam menghadapi GPS, berbanding parti-parti lain.

Komponen parti GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP); merupakan watak penting yang berjaya menawan 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN 2016, yang menyaksikan DAP memenangi tujuh daripada 31 kerusi yang ditandinginya.

Dr Jeniri berkata, di atas kertas, PSB mungkin menyertai pilihan raya bagi kali pertama, namun parti itu diterajui oleh ahli politik veteran, Datuk Seri Wong Soon Koh yang juga bekas anggota kabinet kerajaan negeri, jadi beliau bukanlah ‘baharu’ dalam erti kata yang sebenar.

“PSB memiliki calon yang mantap, ahli politik yang berpengalaman dan cukup biasa dengan persekitaran semasa di kawasan pertandingan. Ada antara anggota mereka merupakan bekas menteri, profesional, dan mereka juga ada Baru Bian,” katanya, dengan merujuk kepada bekas ketua PKR yang akan mempertahankan Ba’kelalan atas tiket PSB kali ini dalam saingan lima penjuru.

Kuok Tiung bersetuju bahawa Baru memiliki peluang yang baik untuk memenangi kerusi DUN itu atas tiket PSB kerana beliau mempunyai ramai penyokong tegar yang masih setia kepadanya.

PSB menampilkan 70 calon dalam usaha merealisasikan hasrat menggantikan kerajaan GPS dan peluang terbaiknya dilihat di kawasan majoriti kaum Cina dan gabungan Cina-Dayak.

DAP menampilkan 26 calon, dan dominasinya kekal dalam kawasan bandar dengan majoriti kaum Cina. Parti itu berhasrat untuk menafikan GPS daripada membolot majoriti dua pertiga.

Kuok Tiung berkata, populariti DAP dilihat semakin menurun selepas pilihan raya umum lepas, dan ini dapat dilihat menerusi respons ramai kepada parti ini terhadap ‘janji yang tidak ditepati’.

“DAP juga berhadapan dengan ‘lawan yang kuat’ kali ini. Lihat sahaja di kawasan DUN Padungan yang menyaksikan ‘lawan’ Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen adalah adalah Datuk Bandar Kuching Selatan,” katanya merujuk kepada langkah Chong yang beralih daripada DUN Kota Sentosa untuk bertanding di hub perniagaan di Padungan.

Kedua-dua penganalisis itu pesimis terhadap keupayaan PKR yang akan bertanding di 28 kerusi DUN, jumlah yang kurang dengan ketara berbanding 40 kerusi DUN yang ditandinginya pada pilihan raya negeri lepas, dan berjaya memenangi tiga kerusi DUN.

Sejak itu Baru dan ADUN Batu Lintang, See Chee How bertindak meninggalkan PKR untuk menyertai PSB dan pemenang kerusi DUN Krian, Datuk Ali Biju menyertai Bersatu.

Bagaimanapun Ali Biju pada Isnin memutuskan untuk mempertahankan kerusi DUN Krian sebagai calon bebas.

“Saya rasa dari segi kekuatan, PSB lebih kuat berbanding PKR pada tahun 2016,” kata Dr Jeniri. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!