303 individu ditahan dalam parti liar kolam renang

Nasri Mansor sedang menyoal siasat beberapa wanita yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti parti liar di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di sini pada Ahad.
Nasri Mansor sedang menyoal siasat beberapa wanita yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti parti liar di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seramai 303 individu termasuk 111 wanita ditahan dalam parti liar di kolam renang sebuah kelab persendirian terkemuka di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mereka yang ditahan dalam parti yang bermula jam 4 petang itu terdiri daripada 161 lelaki dan 55 wanita warga asing serta 31 lelaki dan 56 wanita tempatan.

"Kita jalankan risikan sebelum serbuan dilakukan dan difahamkan setiap individu dikenakan bayaran RM60 untuk menyertai parti yang dijemput menerusi aplikasi media sosial," katanya pada sidang media pada Isnin.

Dalam serbuan jam 10.50 malam itu, sebahagian wanita berbikini dikatakan sedang leka menari, mandi dalam kolam dan berhibur.

Serbuan berkenaan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor bersama anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Sementara itu, ujian air kencing turut dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur terhadap semua yang ditahan.

Amihizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan, Seksyen 22 (b) Akta 342, Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 32 Akta Eksais 1976.
Artikel Berkaitan:


"Kes turut disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.