X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

'Lockdown' bukan penyelesaian kepada Omicron: WHO

A
A

GENEVA - Pelaksanaan total lockdown atau perintah berkurung bukan satu penyelesaian bijak kepada penularan varian baharu Covid-19, Omicron yang terus meningkat sejak kebelakangan ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengarah Serantau WHO, Dr Poonam Khetrapal Singh berkata, perintah berkurung sekadar salah satu daripada kaedah yang boleh dipertimbangkan namun bukanlah satu-satunya jalan keluar kepada penularan varian baharu itu.

"Ia boleh dijadikan sebagai pilihan terakhir kerana pelaksanaan lockdown sebelum ini terbukti melibatkan kos yang tinggi dan menyusahkan orang ramai.

"Justeru langkah-langkah kesihatan awam seperti pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kadar vaksinasi perlu diberi tumpuan," katanya di sini, pada Sabtu.

Omicron berisiko 'sangat tinggi' di seluruh dunia, walaupun wujud ketidakpastian mengenai bahaya dan tahap penularan strain baharu itu.

Ia dikesan mempunyai jumlah mutasi lebih 30 kali selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding Delta.

Strain COVID-19 yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan itu kini sudah merebak kepada 38 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Belanda, United Kingdom, India dan Sri Lanka.

Namun demikian setakat ini, belum ada sebarang kematian direkodkan yang disebabkan varian baharu ini.

Mengulas lanjut, berdasarkan maklumat awal, Poonam menjangkakan, dunia bakal menyaksikan lonjakan kes memandangkan kadar transmisi COVID-19 melibatkan varian baharu ini adalah tinggi.

Namun demikian, katanya, adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa vaksin yang sedia ada pada ketika ini mampu memberi perlindungan dan mengelakkan kematian.

Menyentuh mengenai sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan oleh kebanyakan negara, beliau berkata, pelaksanaan itu tidak akan menghalang penularan merentasi negara.

Sebaliknya, kata beliau, ia hanya akan menambah beban kepada kehidupan seharian dan mata pencarian.

"Meskipun berkesan namun ia adalah langkah yang sangat mahal dan harus dilihat sebagai pilihan terakhir," jelas beliau lagi. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!