Dera anak sampai mati: Ibu kandung, kekasih direman seminggu

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita dan teman lelakinya direman selama seminggu sehingga Jumaat depan kerana disyaki mendera dan membunuh anak kandungnya di Nusa Bestari, Iskandar Puteri di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak berusia lima tahun itu masih belum dituntut dan kini berada di unit forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

"Setakat ini polis sudah menangkap dua suspek iaitu ibu kanak-kanak berkenaan dan kekasihnya. Siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu bekerja sebagai pekerja pembersihan di Singapura.

"Wanita berusia 35 tahun itu juga dipercayai sudah banyak kali berkahwin, namun tidak mendaftarkan perkahwinannya dan mempunyai lapan orang anak," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, seorang wanita bersama teman lelakinya berusia 32 tahun ditahan selepas polis menerima aduan daripada hospital berhubung kematian seorang kanak-kanak pada Jumaat.

Penahanan suspek dilakukan secara berasingan iaitu ibu kandung mangsa ditahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), manakala teman lelakinya ditahan di kediaman mereka di Taman Nusa Bistari di sini.

Hasil pemeriksaan unit forensik di kediaman pasangan itu turut menemui barangan yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa berupa getah paip di sinki bilik air, batang kayu dan paip poli di atas sofa dengan kesan darah.

Kedua-dua suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan: