Impian Vilhelmsen jadi kenyataan

Deitenbach mendapat tempat pertama manakala pelumba negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh (kiri) kedua dan Vilhemsen ketiga dalam pusingan kelima Kejohanan FIM Asia Supermoto 2018 di Dataran Merdeka, semalam. - Foto Bernama
Deitenbach mendapat tempat pertama manakala pelumba negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh (kiri) kedua dan Vilhemsen ketiga dalam pusingan kelima Kejohanan FIM Asia Supermoto 2018 di Dataran Merdeka, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

IMPIAN pelumba Denmark, Simon Vilhelmsen merampas kejuaraan FIM Supermoto Asia 2018 musim ini daripada juara bertahan, Lewis Cornish dari Great Britain akhirnya menjadi kenyataan pada pusingan akhir di Dataran Merdeka, di sini, semalam.

Vilhelmsen, selaku pendahulu sejak pusingan pertama musim ini, merangkul kejuaraan dengan mengumpul 226 mata selepas keseluruhan lima pusingan manakala Cornish muncul naib juara dengan keseluruhan 192 mata.

Pada perlumbaan pertama, Vihelmsen, yang mewakili Team Del Michelin Racing, meraih 25 mata selepas menduduki tempat ketiga selepas menamatkan 34 pusingan dengan catatan masa 21 minit 36.363 saat.

Pada perlumbaan kedua (30 pusingan) yang bermula ketika hujan lebat, beliau lebih berhati-hati untuk menamatkan perlumbaan tanpa kemalangan, sekali gus meraih 12 mata selepas menamatkan cabaran di tempat kesembilan dengan catatan masa 21:36.291s.

Cornish terpaksa melupakan hasrat untuk mempertahankan gelarannya apabila gagal meraih sebarang mata apabila terbabit dalam kemalangan pada penghujung perlumbaan pertama manakala memungut 16 mata selepas menduduki tempat kelima pada perlumbaan kedua.

Vihelmsen, yang memenangi enam daripada 10 perlumbaan musim ini, berkata beliau bangga untuk mencapai kejuaraan musim ini selepas terbabas dan mengalami kecederaan pada pusingan keempat di Litar KF1, Kranji, Singapura, bulan lalu.

“Saya mengalami kesukaran pada perlumbaan pertama kerana cuaca panas dan hujan dan jalan licin pada perlumbaan kedua, namun saya bertenang untuk menamatkan perlumbaan serta merangkul kejuaraan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.

Pusingan pertama perlumbaan itu berlangsung bermula 11 hingga 13 Ogos di Thailand Circuit, Nakhonchaisri, diikuti perlumbaan kedua di Quirino Grandstand, Manila, Filipina (7 hingga 9 September), Gery-Mang Circuit, Subang City, Indonesia (26 hingga 28 Oktober) dan KF1 Circuit, Kranji, Singapura (23 hingga 25 November).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pelumba Malaysia, Muhammad Habibullah Mohd Saleh meneruskan aksi cemerlangnya apabila muncul pelumba kedua terbaik di pusingan terakhir dengan meraih 42 mata.

Pelumba RND Motorworks itu menamatkan perlumbaan pertama di tempat ketiga dengan catatan masa 21:41.704s, namun bangkit mencabar pemenang perlumbaan kedua, Jan Deitenbach (21:23.606) dari Jerman, sebelum akur dengan kedudukan kedua dengan catatan 21:23.803s.

Kejayaan itu membantu beliau muncul pelumba terbaik Asia buat kali kedua selepas 2016 dengan 194 mata, manakala bagi kategori keseluruhan, beliau meraih tempat ketiga dengan 186 mata.

“Selepas terlepas tahun lalu, saya memang nak dapatkan balik gelaran ini. Banyak cabaran terpaksa di harungi, terutamanya dari segi kewangan dan mendapatkan penajaan, ramai kawan-kawan dan ahli keluarga yang membantu,” katanya.

Muhammad Habibullah berkata beliau mendapat ihsan syarikat KTM Malaysia untuk membekalkan motosikal manakala menggunakan tayar terpakai Michelin daripada Vihelmsen yang menggunakannya untuk sesi latihan.

Mengenai kempen musim kelima tahun depan, beliau berkata perancangannya bergantung kepada keadaan dan bajet, sama ada mahu meneruskan perlumbaan atau sebaliknya.

“Saya rasa di negara ini ada ramai bakat dalam sukan permotoran tetapi kurang mendapat bantuan mahupun tajaan,” katanya. - Bernama