Lebih banyak kabel dasar laut akan dihubungkan ke Sarawak: Annuar

Annuar Musa (tiga dari kiri) ketika melakukan lawatan rasmi selepas sesi taklimat Kampung Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TDV) di Digital Village hari ini. - Foto Bernama
Annuar Musa (tiga dari kiri) ketika melakukan lawatan rasmi selepas sesi taklimat Kampung Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TDV) di Digital Village hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kerajaan sedang berbincang untuk membolehkan lebih banyak kabel dasar laut dihubungkan ke negeri Sarawak dalam usaha membangunkan ekonomi digital di negeri ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pembangunan ekonomi digital di Sarawak berada di landasan yang tepat untuk membolehkan negeri itu memainkan peranan sebagai hub peringkat global selaras dengan Strategi Digital Ekonomi Sarawak 2018-2025.

"Kita sedang bincang untuk Sarawak mempunyai lebih banyak 'landing point' dan juga penubuhan pusat data yang boleh memudahkan pengkomputeran awan di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa kira-kira dua jam meninjau operasi dan mendengar taklimat berhubung Kampung Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) (TDV) yang dilancarkan bulan lepas di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Samajaya di sini.

Annuar turut berbangga dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengeluarkan peruntukan kepada TEGAS dalam usaha membangunkan TDV sebagai pemangkin ekonomi digital di negeri ini.

"Saya rasa ini adalah satu model yang patut dilihat oleh negeri-negeri lain juga dan kaedah seperti ini elok jika diadakan di semua negeri," tambahnya.

Menurutnya, Sarawak turut dipilih sebagai antara negeri terawal yang akan menerima perkhidmatan 5G selepas ia dilancarkan menjelang akhir tahun ini.

"Kerajaan negeri pimpinan ketua menteri telah meyakinkan kerajaan pusat bahawa mereka bersedia menerima apa yang dirancangkan kerana bukan semua negeri boleh melaksanakan 5G dan Sarawak termasuk dalam negeri yang kita dahulukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Annuar turut mengalu-alukan komitmen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi digital dalam manifesto menjelang Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

"Perancangan ini selari dengan rangka kerja nasional seperti inisiatif MyDIGITAL yang disusuli dengan program melengkapkan prasarana bagi membantu ekosistem yang lebih besar dan berkesan," katanya.

Pada Jumaat, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, gabungan itu bakal membawa tema ‘Sarawak First’ pada PRN akan datang yang memberi tumpuan terhadap ekonomi digital serta fokus kepada kemampanan dan alam sekitar. - Bernama