Abang Jo di Gedong bakal rancakkan pembangunan: Penduduk

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Tan Sri Abang Johari Tun Openg
A
A
A

KUCHING - Apabila Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 nanti, penduduk di kawasan itu tersenyum lebar memikirkan limpahan pembangunan yang bakal dinikmati mereka kelak.

Pemilik bengkel membaiki kereta dan motosikal, Ahmad Farid Sudin, 33, dari Kampung Tengah, Gedong berkata, jarak Gedong dengan Bandaraya Kuching sejauh 90 kilometer, bakal memudahkan lebih banyak pembangunan dibawa ke kawasan tersebut.

Beliau berkata, penyandang kerusi Gedong, Datuk Naroden Majais telah membawa banyak pembangunan infrastruktur seperti akses jalan raya serta liputan internet yang baik, dan kini usaha tersebut boleh diteruskan oleh pemimpin nombor satu negeri tersebut.

“Apabila Abang Johari mengumumkan bertanding di sini, kami yakin pembangunan lebih cepat akan dinikmati penduduk. Kami mahu lihat wujudnya kawasan perindustrian di sini, tetapi ia tidak perlu terlalu besar namun mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk.

“Kami juga berharap premis perniagaan bersesuaian dibuka di Gedong, sebagai contoh bengkel membaiki kenderaan yang sedang saya usahakan ketika ini. Selain itu perlu dioptimumkan potensi Gedong yang terkenal dengan perindustrian sawit, pembuatan songket dan pusat pengeluaran sarang burung walit,” kata Ahmad Farid ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Naroden memberi laluan kepada Abang Johari untuk bertanding di Gedong.

Turut senada dengan beliau adalah Maharthir Oyak, 40, dari Kampung Lalang Hilir yang berkeyakinan dengan kehadiran Abang Johari di Gedong mampu merancakkan lagi usaha-usaha pembangunan di kawasan itu.

Ini kerana Ketua Menteri Sarawak itu sememangnya terkenal dengan idea dan usahanya dalam membangunkan negeri itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran Ketua Menteri ke Gedong, bukan senang seorang Ketua Menteri bertanding di sini.

“Penyandang kerusi (Naroden) sudah melaksanakan tugas dengan baik, kami percaya kepimpinan Abang Johari akan merancakkan serta membawa pembangunan lebih drastik ke Gedong,” katanya yang bekerja sendiri.

Semalam Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu mengesahkan akan bertanding di Gedong dalam PRN akan datang, ‘berpindah’ daripada kerusi Satok yang disandangnya sejak sembilan penggal lepas.

GPS mengumumkan Datuk Ibrahim Baki menggantikan Abang Johari di Satok pada PRN kali ini. - Bernama