Kesedaran mencarum masih rendah

Awang (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima yang terpilih pada Program Sumbangan Pasca Banjir oleh Perkeso kepada penduduk Parlimen Pendang, pada Sabtu.
Awang (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima yang terpilih pada Program Sumbangan Pasca Banjir oleh Perkeso kepada penduduk Parlimen Pendang, pada Sabtu.
A
A
A

PENDANG - Kesedaran golongan bekerja sendiri untuk mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih rendah walaupun Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri telah dikuatkuasakan sejak Jun 2017.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, setakat 12 November lalu, hanya 14.16 peratus (337,443) daripada jumlah keseluruhan 2,383,000 individu bekerja sendiri mencarum dengan Perkeso.

Katanya, peratus itu sangat kecil berbanding sasaran iaitu 50,000 pencarum bagi semua sektor yang bekerja sendiri.

"Bagi sektor pertanian contohnya, hanya 1,435 petani di seluruh negara mencarum di bawah skim terbabit.

"Golongan petani digalakkan mengambil kesempatan menikmati manfaat yang disediakan di bawah skim terbabit kerana pekerjaan mereka sering terdedah bahaya," katanya ketika ditemui di Program Sumbangan Pasca Banjir oleh Perkeso kepada penduduk Parlimen Pendang pada Sabtu.

Menurutnya, kerajaan juga menawarkan subsidi sebanyak 70 peratus daripada jumlah caruman yang dibayar oleh pencarum dalam setahun untuk meringankan beban mereka.

"Banyak faedah yang kita berikan bukan sahaja kepada pencarum malah kepada anak- anak dan keluarga sekiranya berlaku sebarang musibah ketika bekerja.

"Antara faedah yang diperuntukkan ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan mayat, pemulihan jasmani atau vokasional serta pendidikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman berkata, pihaknya giat menjalankan promosi di negeri berkenaan untuk menarik lebih ramai individu menyertai skim berkenaan.

"Kita turun padang untuk menjalankan kempen kepada golongan bekerja sendiri termasuk petani, nelayan dan peniaga supaya mereka jelas dengan skim ditawarkan ini," katanya.