NGO bina wakaf untuk pesakit Covid-19

Zulkifli menunjukkan aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan Muslim Care Malaysia Society dalam membantu warga Palestin. - Foto fail Sinar Harian
Zulkifli menunjukkan aktiviti-aktiviti yang pernah dilakukan Muslim Care Malaysia Society dalam membantu warga Palestin. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

KEPALA BATAS - Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Muslim Care mengambil inisiatif membina sebuah penempatan sementara, Wakaf Short Stay Unit bagi menempatkan pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kepala Batas di sini.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya peka akan situasi yang dihadapi hospital berkenaan dalam menempatkan pesakit Covid-19 yang saban hari kian meningkat kerana mengalami kekangan katil hospital dan lain-lain kelengkapan sehingga tercetusnya idea untuk membina wakaf tersebut yang bermula pada 1 September lepas.

"Pembinaan wad sementara ini adalah untuk memberikan keselesaan kepada pesakit Covid-19 sebelum mereka mendapat rawatan lanjut di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kepala Batas yang boleh menempatkan 15 orang dalam satu masa. Syukur, ia telah pun siap dibina pada 27 Oktober lepas.

"Antara kelengkapan yang disediakan ialah 15 katil pesakit, penyaman udara, mesin 'oxygen concentrator', tandas dan lain-lain kemudahan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Wakaf Short Stay oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad di sini pada Sabtu.

Zulkifli berkata, empat lagi NGO yang terlibat dalam cetusan pembinaan wakaf melibatkan kos RM100,000 itu ialah Khidmat Malaysia, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (Papisma) Pulau Pinang dan Ummah Pulau Pinang. - Bernama

Artikel Berkaitan: