X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Harimau Malaya perlu tewaskan Vietnam, buktikan kewibawaan

Hamidin menyampaikan amanat kepada pemain sebelum mereka berlepas ke Singapura. - Foto Facebook FAM
A
A

SKUAD Harimau Malaya perlu menewaskan Vietnam bagi membuktikan kewibaaan pasukan negara pada pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, kelak.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, ia tidak menjadi masalah berdasarkan kepada gabungan pemain terbaik yang dimiliki skuad negara ketika ini.

“Pentas Asia Tenggara ini sepatutnya tiada masalah buat mereka dan ingin saya tegaskan di sini bahawa yang kali ini, kita mesti mengalahkan Vietnam bagi membuktikan yang Malaysia juga sebenarnya sama kuat dan hebat.

“Pemain-pemain yang ada ini saya anggap mereka sebagai yang terbaik menerusi gabungan pemain muda seperti Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim dan Arif Aiman; pemain-pemain pada usia pertengahan seperti Safawi Rasid, pemain senior berpengalaman seperti Aidil Zafuan, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi, pemain warisan seperti Dion Cools, Junior Eldstal dan Quentin Cheng serta pemain naturalisasi, Guilherme de Paula.

“Sudah pasti 20 pemain yang akan berlepas dari Kuala Lumpur ini serta empat pemain dari luar negara yang akan menyertai pasukan di Singapura nanti iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim dan Dion Cools saya kira sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab masing-masing dalam membawa nama Malaysia.

“Apabila anda (pemain), sudah masuk ke dalam pasukan dan menyarung jersi Harimau Malaya, saya mahu semua pemain ini beri segalanya yang terbaik yang mereka ada dan fokus sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya selepas meluangkan masa bersarapan pagi dengan barisan pemain dan pegawai skuad kebangsaan di Petaling Jaya, pada Jumaat.

Berdasarkan jadual, skuad negara bakal membuka kempen saingan Piala Suzuki AFF 2020 berdepan Kemboja pada 6 Disember, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember bagi memburu dua slot ke separuh akhir.

Sementara itu, Hamidin meminta seluruh rakyat Malaysia terutama penyokong Harimau Malaya untuk mendoakan kejayaan pasukan pada saingan Piala Suzuki AFF kali ini.

"Kita telah sama-sama bersorak dan menyokong skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2018 dan ternyata ia telah menjadi pembakar semangat yang mendorong para pemain berjaya membawa kita muncul naib juara ketika itu.

"Kali ini, tidak mustahil untuk kita mengulangi kejayaan mara ke final itu dan menjulang pula piala biarpun saya sedar kekangan akibat pandemik Covid-19 ini telah menyukarkan kita semua untuk hadir ke Singapura; tetapi sama-sama kita di tanah air mendoakan kejayaan pasukan dan terus memberi sokongan padu biarpun dari jauh,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!