Setiu pula dilanda banjir

Keadaan banjir di Setiu.
Keadaan banjir di Setiu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jumlah mangsa banjir di Terengganu kini meningkat kepada 45 orang berbanding 25 pada Khamis dengan Setiu sebagai daerah baharu dilanda bah selepas Kuala Nerus.

Sehingga jam 11.30 pagi Jumaat, dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah itu bagi menempatkan 21 mangsa banjir.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, PPS Balai Raya Kampung Bari Kecil diaktifkan pada jam 8 pagi dan seramai 16 mangsa dari empat keluarga ditempatkan di sana.

“Sebuah keluarga melibatkan lima mangsa pula dipindahkan ke PPS Masjid Chalok Kedai yang mula dibuka pada jam 9.30 pagi,” katanya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu turut memaklumkan, banjir di Kuala Nerus tidak berubah dengan 24 mangsa masih berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot.

Sementara itu, hujan lebat berterusan sejak malam Rabu menyebabkan paras air di kebanyakan sungai di Terengganu menunjukkan peningkatan.

Artikel Berkaitan:

Jalan di Setiu mula dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda negeri ini sejak Rabu.
Jalan di Setiu mula dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda negeri ini sejak Rabu.

Berdasarkan laman web rasmi Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu kini melepasi paras bahaya dengan air sungai itu mencatatkan 9.57 meter (m) berbanding 8.40 m (bahaya).

Tiga sungai iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak di Besut, Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu dan parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus pula sudah melepasi paras amaran.

Laporan itu turut merekodkan empat sungai di Besut, Setiu dan Marang berada pada peringkat kuning iaitu melepasi paras waspada.

Sungai Besut di Kampung La, Besut merekodkan bacaan 20.06 m berbanding 19.80 m paras waspada, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu berada pada paras 19.59 m berbanding 19.50 m dan Sungai Nerus di Kampung Bukit pula adalah 10.91 m.

Bacaan paras air Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang pula adalah 2.04 m berbanding 2.00 m paras waspada.

ARTIKEL BERKAITAN:19 sekeluarga terkandas selepas rumah dimasuki air banjir di Kuala Nerus