Kes Omicron akan diambil kira dalam SOP PRN Sarawak

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perkembangan terbaru kes positif varian Omicron pertama yang dikesan di Malaysia akan diambil kira dalam prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, SOP akan membabitkan beberapa langkah yang lebih ketat bagi memastikan tiada sebarang penularan berlaku ketika pilihan raya itu.

"SOP sudah hampir siap dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperhalusi beberapa perkara untuk kita kemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Sudah pasti perkembangan terbaru diambil kira supaya SOP yang akan dikemukakan kepada SPR itu lebih ketat bagi mengelakkan penularan pada PRN berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Pada Jumaat, Khairy memberitahu, kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron telah dikesan di Malaysia.

Katanya, kes tersebut melibatkan seorang pelajar bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021.

Sementara itu, SPR menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Penamaan calon pula pada 6 Disember manakala undi awal pada 14 Disember.

Artikel Berkaitan: