Akhirnya pecah tembelang

Gambar tular di media sosial menunjukkan penahanan dua lelaki menyamar sebagai polis di Jalan Besar Segari-Lumut, semalam.
Gambar tular di media sosial menunjukkan penahanan dua lelaki menyamar sebagai polis di Jalan Besar Segari-Lumut, semalam.
A
A
A

MANJUNG - Tembelang dua lelaki tempatan yang melakukan kegiatan memeras ugut warga asing dengan menyamar sebagai polis dan anggota imigresen terbongkar selepas berjaya ditahan di Jalan Besar Segari-Lumut, semalam.

Kedua-dua mereka berusia 30 dan 23 tahun ditahan sekitar jam 10 pagi oleh anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, hasil siasatan awal dijalankan, mereka mengaku terlibat dalam kes penyamaran sebagai polis dan anggota Imigresen sejak Disember lalu.

Menurutnya, mereka mengaku terlibat dalam 19 kes memeras ugut pekerja asing melibatkan warga Indonesia di beberapa daerah iaitu Manjung, Kuala Kangsar, Kerian dan Taiping.

"Modus operandi kedua-dua suspek ini, mereka pergi ke rumah kongsi atau rumah sewa pekerja dengan menyamar sebagai polis atau imigresen, apabila pekerja-pekerja itu melarikan diri, mereka akan masuk geledah rumah yang ditinggalkan dan mengambil wang pekerja.

"Sepanjang kegiatan ini dijalankan dalam tempoh Disember 2018 hingga awal Mac lalu, dianggarkan wang tunai RM8,000 hingga RM9,000 telah diambil dari rumah-rumah tersebut," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, suspek pertama bekerja di kilang tayar merupakan orang dikehendaki bagi Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan mempunyai rekod lampau dalam kes memeras ugut.

"Suspek kedua yang bekerja pembantu kedai pula tidak memiliki sebarang rekod kesalahan lampau. Kedua-duanya kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil penahanan itu, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero dan wang tunai RM1,020.

"Turut ditemui adalah lima dompet pelbagai jenama, satu beg pinggang, satu beg silang, dua telefon bimbit dan dua kad sim telefon," katanya.