Polis Sarawak cari Mohd Aszlan

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Polis Sarawak menerima 32 laporan polis berkenaan kes penipuan pakej pelancongan luar negara yang ditawarkan oleh seorang lelaki tempatan, melibatkan kerugian RM118,567.84 kepada mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, laporan polis terhadap lelaki berusia 30 tahun itu diterima di antara 23 Disember lepas dan 8 Mac, melibatkan 32 mangsa dari Daerah Kuching, Miri, Sibu, Padawan dan Sri Aman.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah dengan menawarkan pakej pelancongan, mangsa akan diperdaya untuk membuat pembayaran bagi proses pendaftaran tiket kapal terbang, ke satu akaun bank peribadi.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati pakej pelancongan yang ditawarkan oleh suspek tidak wujud dan suspek tidak dapat dihubungi selepas mangsa membuat pembayaran sekitar RM274 sehingga RM38,250 mengikut pakej pelancongan yang diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya sehubungan itu JSJK Sarawak telah membuka lima kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi menyiasat kes-kes berkenaan.

Mustafa Kamal berkata, antara pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan oleh suspek adalah pakej pelancongan ke Gunung Kinabalu; Korea; Vietnam; Annapurna Base Camp, Himalaya, Nepal; Hua Hin Thailand; Jogjakarta; Kuala Lumpur; Turki; Jepun dan Bangkok.

Susulan itu, beliau berkata, polis sedang berusaha mencari Mohd Aszlan Mat Muda, 30, yang alamat terakhirnya di No 6, Kampung Pandan, Lundu, yang dikehendaki bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki ini diminta segera menghubungi pegawai penyiasat Insp. Zurraidda Bujang (019-8274217) atau pegawai risikan operasi Insp. Hamizan Ismail (016-4455695),” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: