Industri seni turut terpalit rasuah

Fizie Roslan
Fizie Roslan
A
A
A

SHAH ALAM – Industri seni negara tidak terkecuali daripada terpalit dengan elemen-elemen rasuah, kata seorang artis yang juga penyampai radio, Fizie Roslan.

Menurut beliau, perkara ini pernah didengarinya walaupun elemen-elemen rasuah itu tidak berlaku di ‘depan matanya'.

“Benda ini pernah terjadi. Kes ini dipanggil kes payola. Misalnya, ada satu lagu baharu yang cukup sedap, akan tetapi kerana (lagu ini) tidak diberi ‘suapan’, maka lagu itu tidak akan diputarkan di mana-mana radio,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters: Rasuah Rampas Masa Hadapan Anak Muda yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Aira Azhari manakala Amin Idris bertindak selaku moderator.

Fizie menambah, sepanjang hampir 15 tahun beliau ke udara di radio, tiada elemen rasuah pernah berlaku di depan matanya.

“Tetapi dengar cerita daripada kawan-kawan kita agak kecewa sebab perkara ini boleh merosakkan industri itu sendiri.

“Sepatutnya lagu ini memang layak diputarkan, mendapat pengiktirafan dan cukup layak untuk didengari oleh segenap lapisan masyarakat tetapi disebabkan rasuah, lagu ini tidak dapat dimainkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai orang seni, jelas beliau isu tentang rasuah seharusnya ditegah.

“Sebab seni ini memerlukan keikhlasan, bukan wang ringgit seperti beri duit baru nak ‘play’ (mainkan lagu). Tidak. Sebab lagu dan seni ini datangnya daripada ALLAH SWT, diilhamkan kepada kita.

“Maka, kita berikan sesuatu yang terbaik kepada pendengar-pendengar dan dapat menenangkan jiwa.

“Kalau lagu itu sendiri lagu yang baik tidak dapat dimainkan disebabkan rasuah, bagi saya itu memang tidak harus berlaku pada zaman sekarang ini,” jelasnya.