Menara Merdeka 118 kebanggaan Malaysia

Malaysia kini boleh berbangga dengan mercu tanda baharu, Menara 118 yang dibina di kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara.
Malaysia kini boleh berbangga dengan mercu tanda baharu, Menara 118 yang dibina di kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara.
A
A
A

SELEPAS KLCC, TRX dan Menara Kuala Lumpur, Malaysia kini boleh berbangga dengan mercu tanda baharu, Menara 118 yang dibina di kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Penyempurnaan pemasangan puncak Menara 118 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa menandakan satu lagi pencapaian hebat dalam bidang kejuruteraan negara, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara moden dan maju di persada dunia.

Pembinaannya yang bermula pada 2014 dapat disempurnakan walaupun ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19.

Lengkapnya pemasangan puncak Menara 118 menjadikannya bangunan tertinggi di Malaysia, tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan ketinggian 678.9 meter.

Ia bukan sekadar projek ikonik bertaraf dunia, malah turut melambangkan kebudayaan dan sejarah kemerdekaan Malaysia serta memiliki sentuhan luar biasa antara seni bina bersejarah dan kontemporari.

Menara milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia. Ia memberi impak dan nilai tinggi kepada sektor perniagaan dan pelancongan, masyarakat serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

Menara 118 menjadi pemangkin ekonomi baharu bagi Kuala Lumpur, sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain yang sedang rancak membangun.

Ia memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan kerana kawasannya berdekatan dengan Jalan Petaling, Kampung Attap dan Pudu.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

Diharap kesan yang positif itu dapat dirasai oleh semua peringkat golongan sama ada kaya atau miskin, marhaen mahupun kayangan.

Apalah gunanya negara semakin maju ke hadapan tetapi rakyat di bawah semakin derita dan sengsara. Semoga ada sinar yang memberi harapan kepada rakyat Malaysia.