65 pelajar Sekolah Seri Puteri disahkan positif Covid-19

Mohd Radzi mengunjungi Sekolah Seri Puteri bagi mendapatkan gambaran jelas penularan Covid-19 di sekolah berkenaan.
Mohd Radzi mengunjungi Sekolah Seri Puteri bagi mendapatkan gambaran jelas penularan Covid-19 di sekolah berkenaan.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seramai 65 daripada lebih 200 pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang menjalani ujian saringan Covid-19 disahkan dijangkiti wabak tersebut.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kesemua pelajar berkenaan telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS, Serdang untuk rawatan.

"Esok (Khamis), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang akan melakukan ujian saringan kendiri terhadap baki pelajar bagi memastikan kes positif Covid-19 dapat dikesan," katanya.

Menurutnya, kes indeks merupakan seorang guru yang terlebih dahulu dijangkiti virus berkenaan sebelum menjangkiti seorang lagi guru dan enam murid.

"Enam murid positif Covid-19 itu diletakkan di bawah pemantauan pihak sekolah," katanya menerusi rakaman video yang dimuatnaik di laman Facebooknya.

Beliau berkata, 121 kontak rapat bagi kes enam murid tersebut telah pun tamat tempoh kuarantin.

"Gelang kuarantin telah dipotong hari ini dan mereka dibenar pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Mohd Radzi berkata, KPM akan terus bekerja rapat bersama PKD dan pihak sekolah dalam memastikan pelajar berada dalam keadaan selamat.

Artikel Berkaitan:

Beliau sebelum itu meluangkan masa melakukan tinjauan di sekolah berkenaan bersama Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Nor Zamani Abdol Hamid dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Md Nasir Habib bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai penularan Covid-19 di sekolah berkenaan.