X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Ringgit rendah berbanding dolar AS pada akhir dagangan

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, memandangkan pelabur beralih kembali kepada mata wang selamat susulan kebimbangan baharu berhubung unjuran ekonomi global disebabkan perkembangan pandemik Covid-19, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.2180/2210 berbanding dolar AS daripada 4.2025/2055 ketika ditutup pada Selasa.

Peniaga berkata, pelabur berwaspada susulan varian Omicron Covid-19 terus meningkatkan kebimbangan mengenai prospek ekonomi dunia.

Pada Selasa, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan usaha peralihan ke fasa endemik ditangguh seketika sehingga kerajaan mengetahui lebih lanjut mengenai varian baharu Covid-19, Omicron, yang dikatakan lebih mudah merebak berbanding Delta.

Pada sidang akbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 di Parlimen pada Selasa, beliau berkata, setakat ini, kerajaan mengambil maklum varian itu bukan sahaja telah menular di selatan benua Afrika, tetapi juga di beberapa negara antaranya, Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.

“Walaupun sehingga hari ini kita tidak dengar kes di negara kita, tetapi tindakan berhati-hati terus dilaksanakan.

“Kita bimbang semua yang telah kita rancangkan sebelum ini, kita telah umumkan kelonggaran SOP (prosedur operasi standard), tujuh asas yang kita harap dapat diumumkan dalam masa terdekat dalam fasa endemik, semua ini mungkin terjejas kalau sekiranya kita tidak dapat pantau secara lebih dekat penularan Omicron dan bagaimana kita dapat tanganinya,” katanya.

Sementara itu, peniaga lain berkata, harga minyak mentah memperoleh semula asas kenaikan pada Rabu selepas mengalami penurunan ketara pada sesi dagangan sebelum ini, didorong langkah oleh negara pengeluar minyak utama yang bersedia membincangkan cara bertindak balas terhadap ancaman varian Omicron ke atas permintaan bahan api.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0933/0957 daripada 3.0743/0769 ketika ditutup pada Selasa dan tidak berubah berbanding pound Britain pada 5.6158/6198.

Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7173/7203 daripada 3.7230/7260 semalam namun susut berbanding euro kepada 4.7773/7807 daripada 4.7753/7787. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!