X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Kuota haji: Kerajaan tunggu pengumuman Arab Saudi

Pada Mac lalu, kerajaan Arab Saudi dilaporkan menetapkan kuota haji setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk. - Gambar fail
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan masih menunggu pengumuman rasmi kerajaan Arab Saudi berhubung jumlah kuota jemaah haji negara untuk musim haji tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, penetapan jumlah kuota itu mungkin memakan masa berikutan prosedur operasi standard (SOP) normal baharu selain pengesanan varian baharu Omicron.

Senator Idris Ahmad
Senator Idris Ahmad

"Wallahu'alam, kita masih belum pasti sama ada varian baharu itu akan merisikokan kita dengan pelaksanaan ibadah haji yang diperketatkan. Saya amat berharap varian baharu itu tidak melibatkan negara kita.

"Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji yang pulang dari sana memaklumkan bahawa Arab Saudi belum lagi membuat sebarang keputusan. Ini kerana mereka memikirkan pelbagai aspek antaranya pelaksanaan SOP dan logistik di sana," katanya.

Ditanya mengenai sama ada akan mengikut keputusan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membenarkan wanita mendaftar haji untuk musim lalu tanpa mahram, beliau berkata, pihaknya belum memutuskan soal itu.

"Perkara itu akan diputuskan oleh pihak Penasihat Syariah Tabung Haji untuk membuat pendirian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Masjid al-Jawahir, Mutiara Rini, di sini pada Rabu.

Sebelum itu, media pada Mac lalu melaporkan kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600.

Bagi musim Haji 1442 hijrah/2021, Arab Saudi mengehadkan ibadah haji hanya untuk rakyatnya dan golongan ekspatriat yang berada di negara itu susulan pandemik Covid-19 yang belum reda.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!