'Kembali ke pangkal jalan selepas 40 tahun bergelumang noda'

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Haris Kasim bergambar bersama hadirin yang hadir dalam seminar keibubapaan mengenai LGBT di Masjid Negeri Shah Alam.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Haris Kasim bergambar bersama hadirin yang hadir dalam seminar keibubapaan mengenai LGBT di Masjid Negeri Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM- "Hampir 40 tahun saya lupa Dia, namun tatkala saya ditimpa sakit yang agak teruk, ia membuatkan saya sedar akan hakikat hidup yang sebenar, demikian cerita seorang bekas transgender mengenai kisahnya dulu.

Shah (bukan nama sebenar) berkata sepanjang 40 tahun itu juga dia banyak bergelumang dengan dosa, namun dia belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan dan membetulkan segala kesilapannya.

"Saya menjadi tertarik kepada lelaki seawal umur belasan tahun, kalau diingatkan kembali ia merupakan antara waktu yang saya rasakan amat rugi sepanjang hidup.

"Sesal dan kesal rasanya, namun sebagai pengajaran saya kongsikan kepada semua sebagai teladan, biar saya saja yang melaluinya," katanya.

Shah merupakan antara tiga bekas pengamal Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) yang dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam Seminar Keibubapaan Mengenai LGBT bertajuk Keliru dan Kelabu bertempat di Auditorium Dahlia, Dewan Muzakarah dan Syarahan Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Katanya, setelah sekian lama hidup dalam noda dan lupa kepada Maha Esa, dirinya diuji apabila jatuh sakit ketika berusia sekitar 48 tahun.

"Ketika itu, saya tertanya ke mana saya perlu mengadu. Bayangkan tikar sejadah tidak saya sujud walau sekali selama 40 tahun itu.

"ALLAH masih sayangkan saya dia buka pintu hidayah-Nya, lama kelamaan saya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, dan meninggalkan kehidupan lama yang penuh dosa," katanya.

Menurutnya, dirinya bersyukur kerana sempat untuk kembali ke pangkal jalan.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang saya pinta adalah bantulah dan bimbinglah kami, jangan sesekali sisihkan, mereka yang kita gelar mak nyah, pondan, atau sebagainya ini, perlu dibimbing ke arah jalan yang benar.

"Alhamdulillah, saya dibimbing oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), dan beberapa pihak, kini pula saya merupakan antara sukarelawan yang giat aktif membantu mereka yang senasib seperti saya dahulu," katanya.

Antara hadirin yang menghadiri seminar tersebut.
Antara hadirin yang menghadiri seminar tersebut.

Sementara itu, Din (bukan nama sebenar), 50, berkata apa yang dikongsikan ini bukanlah sebagai satu perkara yang mahu disensasikan.

"Apa yang saya mahu ceritakan kepada hadirin adalah berkaitan aib sebenarnya, saya memandang apa yang berlaku terhadap diri saya adalah sebagai satu aib.

"Jadi sebagai aib, ia bukan perkara yang perlu disensasikan, tidak sekali dibanggakan, sedangkan dalam Islam kita tidak boleh mendedahkan aib orang lain, inikan pula aib sendiri, namun atas dasar tanggungjawab saya mahu kongsikan," katanya.

Katanya, seandainya di dalam dunia ini mempunyai ubat untuk menghilangkan rasa yang ada dalam dirinya, pasti dirinya orang pertama yang akan mengambilnya terlebih dahulu.

"Saya merasakan ini sebagai satu apa yang dikatakan ujian dalam hidup, ketika umrah saya berdoa kepada ALLAH agar dicabut rasa ini.

"Saya nekad untuk berubah, saya tanamkan rasa takut kepada ALLAH agar ia menjadi satu perasaan untuk saya tidak lagi kembali menjadi diri yang dahulu," katanya.

Perkongsian selama hampir dua jam itu turut menitipkan akan penekanan terhadap aspek-aspek keluarga, peranan ibu bapa dan masyarakat terhadap pencegahan ke arah berlakunya LGBT ini.

Program berkenaan dianjurkan oleh Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor bersama Perkim Selangor.

Sesi yang berlangsung bermula pada pagi itu dimulakan dengan sesi ceramah bertajuk pendidikan keibubapaan cemerlang dalam menangani isu LGBT: Keliru dan Kelabu disampaikan oleh Perunding Motivasi, Hushim Salleh.

Majlis dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Haris Kasim.