8,733 anggota, pegawai PDRM terima dos penggalak vaksin Covid-19

Mazlan (kanan) beramah mesra dengan pesara polis selepas menyampaikan bantuan zakat di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 pada Selasa.
Mazlan (kanan) beramah mesra dengan pesara polis selepas menyampaikan bantuan zakat di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 8,733 atau 7.59 peratus anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat 28 November lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 106,352 anggota dan pegawai masih menunggu giliran untuk menerima dos penggalak daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita memang menggalakkan semua anggota dan pegawai mengambil suntikan vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak bagi melindungi diri mereka dan setakat ini, tiada yang menolak untuk menerima suntikan vaksin tersebut.

“Kita juga sedang menunggu giliran daripada Kementerian Kesihatan untuk anggota dan pegawai yang masih belum menerima dos penggalak,” katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan zakat kepada asnaf, balu, anak yatim dan pesara polis di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban di sini pada Selasa.

Mazlan menyampaikan bantuan zakat kepada salah seorang pesara polis.
Mazlan menyampaikan bantuan zakat kepada salah seorang pesara polis.

Dalam majlis itu, seramai 40 orang masing-masing sembilan asnaf, 20 pesara, sembilan mualaf dan dua balu menerima sumbangan berupa bakul makanan bernilai RM100 dan wang tunai sebanyak RM200.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, sebuah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang baharu akan dibina di daerah Timur Laut di sini.

Katanya, pembinaan IPK baharu yang dijangka menelan kos sebanyak RM300 juta itu sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan kini dalam proses pemberian tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Artikel Berkaitan: