NS tiada masalah pinda had umur belia

Mohamad Taufek Abd Ghani
Mohamad Taufek Abd Ghani
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan tiada masalah dengan pindaan had umur belia di negara ini yang diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun.

Exco Belia dan Sukan Negari Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani (Amanah-Paroi) berkata, bagaimanapun katanya pindaan itu lebih sesuai dilakukan secara berperingkat bermula dari usia 35 tahun.

"Bagi kerajaan negeri, kita ambil pendekatan untuk bersetuju melaksanakan arahan ini secara berfasa kerana kita sedia maklum bahawa ramai pemimpin belia yang ada sekarang berumur 40 tahun.

"Mereka ini perlu diberi masa untuk melatih pelapis-pelapis pemimpin yang akan meneruskan kepimpinan di peringkat Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah serta Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) belia,"katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa(BN-Gemencheh) berkenaan pindaan had umur belia pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri(DUN) Negeri Sembilan pada Selasa.

Menurut Mohamad Taufek, salah satu ciri kepimpinan yang baik adalah melahirkan seorang pemimpin baharu yang benar-benar bersedia mengambil alih kepimpinan sedia ada.

Jelas beliau, kerajaan negeri juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta buat golongan belia pada Belanjawan 2022 iaitu meningkat berbanding RM500,000 tahun lalu.

Sebelum ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Artikel Berkaitan:

RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.