KPDNHEP tidak mahu tergesa-gesa kenakan sekatan harga maksimum

Alexander Nanta Linggi - Foto fail Bernama
Alexander Nanta Linggi - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak mahu tergesa-gesa atau ambil langkah drastik mengenakan sekatan harga maksimum kerana ingin memastikan tiada pihak yang teraniaya khususnya peniaga kecil.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana isu kenaikan harga barang adalah suatu perkara yang kompleks dan bukannya terletak di bawah kementeriannya semata-mata.

“Saya menyambut baik saranan, teguran dan cadangan Yang Berhormat Bagan. Kami tahu sangat agar jangan aniaya peniaga sebab itu pernah saya katakan dahulu dalam penjelasan saya bahawa kita tidak mahu tergesa-gesa atau drastik mengenakan sekatan harga maksimum.

“Sebagai contoh, kalau kita tidak bantu tangani kos operasi ladang, maka peniaga terpaksa jual dengan harga mahal sebab mereka beli daripada pemborong dan pemborong beli dengan harga yang mahal daripada penternak (kerana kos operasi tinggi).

“Sebab itu, kami tidak bertindak sebarangan apabila didesak supaya buat sekatan harga kerana kita tahu keluhan peniaga-peniaga khususnya peniaga kecil. Kalau kita buat begitu sahaja (kenakan harga maksimum) tanpa ada solusi yang menyeluruh, holistik, masalah ini tidak akan selesai,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahu tahu adakah beliau akan bertanggungjawab terhadap kenyataannya bahawa isu kenaikan harga barang akan selesai pada 9 Disember ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, beliau boleh bertanggungjawab, namun katanya isu kenaikan harga barang bukan semata-mata di bawah kendalian kementeriannya sebaliknya turut melibatkan kementerian lain.

“Perkara ini (isu kenaikan harga barang) agak kompleks kerana bukan terletak di bawah KPDNHEP sahaja. Kalau hendak letak jawatan, yang Berhormat Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun pernah kata dulu, hari ini kita menang, esok minyak turun.

Artikel Berkaitan:

“Malah Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pun cakap kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri, saya (Kit Siang) akan undur tapi ini tidak berlaku.

"Kalau kita hendak berpolitik boleh sahaja tapi saya tidak mahu jadikan dewan ini untuk berpolitik,” katanya.