X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

10 lelaki ditahan, dadah bernilai RM8.09 juta dirampas

Razarudin menunjukkan barang kes yang dirampas dalam serbuan di enam lokasi berasingan di sekitar Gombak dan Bukit Puchong, Selangor pada Isnin lalu.
A
A

SHAH ALAM - Seramai 10 lelaki termasuk seorang 'kingpin' sindiket memproses dadah ditahan dalam serbuan di enam lokasi berasingan di sekitar Gombak dan Bukit Puchong, Selangor pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya merampas 19.7 kilogram (kg) heroin base, 43.1kg heroin, 3.2kg pil ekstasi dan 110 kg serbuk dadah MDMA dianggarkan bernilai RM 8.09 juta dalam serbuan itu.

Menurutnya, dalang utama sindiket tersebut dipercayai seorang ah long yang turut membiayai sebuah makmal mini untuk memproses bahan mentah yang diperoleh dari negara jiran sebelum dijual di pasaran tempatan.

"Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak enam bulan lalu dan setiap minggu mereka akan memproses heroin sebanyak empat kali serta mengaut keuntungan berjumlah jutaan ringgit," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Isnin.

Razarudin berkata, polis turut merampas barang kemas, wang tunai dan 19 buah kenderaan selain membekukan beberapa akaun bank dan saham milik suspek.

"Akaun bank yang dibekukan berjumlah RM2.03 juta dan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan aset dianggarkan berjumlah RM10.1 juta.

"Kesemua kenderaan yang dirampas dipercayai milik peminjam yang gagal untuk jelaskan hutang ah long iaitu sebuah Ford Ranger, Toyota Hilux, Mercedes E240, Mercedes E200, BMW 330i, BMW 528i, Volkswagen Golf GTI, Volkswagen Passat, dua buah lori penarik kereta, dua buah kereta Perodua Myvi, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan empat buah motosikal," katanya.

Dadah yang dirampas dalam serbuan di enam lokasi berasingan di sekitar Gombak dan Bukit Puchong, Selangor pada Isnin lalu.
Dadah yang dirampas dalam serbuan di enam lokasi berasingan di sekitar Gombak dan Bukit Puchong, Selangor pada Isnin lalu.

Menurutnya, selain itu, polis juga merampas alat pengering, ketuhar, peralatan membancuh serta mesin pemampat untuk memproses heroin dan pil ekstasi.

Tambahnya, semakan kesalahan lampau mendapati lapan daripada 10 suspek mempunyai rekod membabitkan kes dadah dan jenayah.

"Saringan awal ujian air kencing terhadap kesemua suspek berusia 22 hingga 42 itu mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamin, amphetamin dan ketamin," katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman antara lima hingga 11 hari sejak Selasa lalu untuk membantu siasatan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!