Lupakanlah PRU15, ingat perut rakyat

Beberapa siri kenaikan harga barang yang menambah kesusahan rakyat. - Gambar hiasan
Beberapa siri kenaikan harga barang yang menambah kesusahan rakyat. - Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan setuju dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai untuk diadakan ketika ini.

Katanya, dalam keadaan penularan kes yang masih meningkat, kemasukan pesakit ke hospital yang bertambah dan penularan Omicron, adalah tidak bertanggungjawab untuk mengadakan PRU15.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau juga berpandangan PRU15 tidak wajar diadakan kerana bimbang dengan keselamatan pengundi.

Kata Ahli Parlimen Tuaran itu, sekiranya PRU15 diadakan juga, UPKO berpandangan hal itu akan menyukarkan parti politik untuk menyampaikan mesej kepada pengundi kerana ruang berkempen yang agak terhad.

Maka eloklah, parti-parti politik lain mengambil langkah seperti UPKO menyatakan pendirian masing-masing berhubung PRU15 supaya fokus agenda negara ketika ini dapat ditumpukan ke arah mengekang Covid-19 dan membantu rakyat.

Bagi mana-mana pemimpin yang sedang berkira-kira mahu PRU15 diadakan, adalah lebih baik dipendamkan dulu hasrat itu kerana ia bukan sahaja tidak kena pada tempatnya tetapi akan mencatatkan sejarah sebagai tindakan paling menyusahkan rakyat.

Ini kerana, turut dilaporkan beberapa siri kenaikan harga barang yang menambah kesusahan rakyat yang sedang bergelut untuk bangkit selepas impak Covid-19.

Selepas ayam, telur, sayur, roti dan beberapa barang lagi yang dijangka naik, amat wajar tumpuan ketika ini adalah isu rakyat berbanding hal-hal lain yang boleh ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

Daripada fokus memerah otak merancang strategi untuk bertanding dalam PRU15, lebih baik pemimpin politik semua parti bekerjasama bersama kerajaan memikirkan kaedah terbaik menyelesaikan isu penting dalam menghadapi cabaran tiga serangkai yang berlaku ketika ini.