Pengunjung Bukit Malawati diminta bawa pulang sampah

MPKS meminta orang ramai bawa dan simpan sampah masing-masing untuk dibawa pulang memandangkan di atas bukit terdapat banyak lotong. Foto Ihsan FB MPKS
MPKS meminta orang ramai bawa dan simpan sampah masing-masing untuk dibawa pulang memandangkan di atas bukit terdapat banyak lotong. Foto Ihsan FB MPKS
A
A
A

KUALA SELANGOR - Orang ramai yang mengunjungi Bukit Malawati di sini dinasihatkan membawa pulang sampah mereka bagi mengelakkan kawasan pelancongan itu dicemari.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat berkata, antara punca kawasan itu dipenuhi sampah kerana tong sampah disediakan diselongkar lotong.

"MPKS meminta orang ramai bawa dan simpan sampah masing-masing untuk dibawa pulang memandangkan di atas bukit terdapat banyak lotong.

"Lotong ini kreatif. Apabila tiada pengunjung, tong sampah akan diselongkar menyebabkan persekitaran dipenuhi tin minuman dan plastik makanan ringan," katanya pada sidang akhbar pada Program Tanam Pokok anjuran bersama MPKS dengan kerjasama Enquest Petroleum Development Malaysia dan Malaysian Nature Society.

Justeru katanya, MPKS akan terus meningkatkan rondaan secara berkala di kawasan pelancongan bersejarah itu bagi memberi teguran lisan kepada orang awam yang masih membuang sampah di kawasan itu.

"Tindakan membuang sampah ini tidak boleh dikawal sepenuhnya sebaliknya memerlukan langkah pencegahan berterusan bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu, Rahilah memberitahu, perkhidmatan trem di kawasan pelancongan itu dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggara dan naik taraf di kawasan terbabit.

Jelas beliau, perkhidmatan trem pelancong itu dijangka memulakan operasi pada awal Disember depan.

Artikel Berkaitan:

"MPKS akan memaklumkan dari masa ke masa sekiranya perkhidmatan trem kembali beroperasi kepada orang ramai menerusi platform media sosial," katanya.