Harga sayur naik, KPNDHEP Pulau Pinang keluarkan lapan notis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak lapan notis pengesahan maklumat barangan kepada pengimport, pengeksport dan pemborong sayur di negeri itu sejak Rabu hingga semalam.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, notis itu dikeluarkan menurut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapatkan justifikasi harga jual runcit sayur-sayuran.

"Pemeriksaan di pasar awam mendapati terdapat tiga jenis sayur mengalami kenaikan harga di Pulau Pinang ketika ini iaitu kacang buncis kenaikan kira-kira RM3 sekilogram dijual RM15-RM17, sayur kubis bulat import daripada RM4-RM5 sekilogram kepada RM5-RM7 dan cili akar merah daripada RM13-RM15 kepada antara RM15-RM20.

"Jadi, kami keluarkan lapan notis dan pemeriksaan juga mendapati harga sayuran di pasar raya adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan di pasar awam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, selain itu pihaknya turut membuat pemantauan harian terhadap 186 jenis barangan setakat ini merangkumi 41 premis pasar, 31 pasar raya dan pasar raya hiper terpilih di seluruh Pulau Pinang.

Mohd Ridzuan menjelaskan, secara keseluruhan pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 46 notis pengesahan maklumat barangan dan lima notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 kepada peniaga sayuran sepanjang tahun ini.

Sementara itu, katanya, sebanyak 47,578 pemeriksaan berkaitan harga barang telah dilakukan dan daripada jumlah itu 373 kes dikompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melibatkan nilai RM46,850.

Selain itu, sebanyak 374 notis pengesahan maklumat barangan dan 139 notis bertulis di bawah seksyen sama telah dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga barangan, katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, sebanyak 237 aduan berkaitan harga telah diterima dengan 133 daripadanya melibatkan harga barang yang mahal dan pihaknya telah membuka 26 kes untuk tindakan sepanjang tahun ini. - Bernama