GPS terima keputusan Manyin

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Tan Sri Abang Johari Tun Openg
A
A
A

SERIAN - Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Datuk Amar Michael Manyin Jawong untuk tidak mempertahan kerusi yang disandangnya selama 25 tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi GPS merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau menghormati keputusan Manyin yang berhasrat memberi laluan kepada calon lebih muda untuk menggantikannya.

“Kita berterima kasih kepada Manyin atas khidmat bakti beliau kepada negeri, kerajaan dan rakyat selama lima penggal sebagai ADUN dan Menteri Kabinet Sarawak,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Kompleks Pentadbiran Baharu Bahagian Serian di sini pada Sabtu.

Manyin, 76, yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak pada Selasa lepas mengumumkan hasrat untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak ke-12 bagi kerusi Tebedu yang dimenanginya sejak 1996 dan dipertahan dalam empat PRN selepas itu.

“Saya sudah bercakap (tentang) perkara (enggan bertanding dalam PRN Sarawak ke-12) ini sejak tahun lepas,” katanya kepada media dalam satu majlis di sini.

Abang Johari juga berkata, pucuk pimpinan GPS sudah mengenal pasti calon untuk menggantikan Manyin bagi mempertahan kerusi Tebedu tetapi beliau enggan menamakan individu itu.

Beliau yakin GPS mampu memenangi kesemua lapan kerusi di kawasan majoriti kaum Bidayuh iaitu Opar, Tasik Biru, Serumbu, Mambong, Tarat, Tebedu, Bukit Semuja dan Kedup kerana mereka adalah penyokong kuat kerajaan negeri yang dibentuknya selama ini.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan status daerah kecil Siburan akan dinaik sebagai daerah penuh manakala Balai Ringin menjadi daerah kecil.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini dan Siburan akan menerima fasiliti yang diperlukan sebagai sebuah daerah penuh manakala kemudahan sama akan diberi kepada daerah kecil Balai Ringin. - Bernama