Pengusaha roti telur gedik berhasrat kekal harga

Nor Hazelizan menunjukkan roti ayang yang dikekalkan pada harga RM5 di kedainya di Kota Bharu. - Foto Sinar Harian
Nor Hazelizan menunjukkan roti ayang yang dikekalkan pada harga RM5 di kedainya di Kota Bharu. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga roti telur gedik atau Roti Ayang di negeri ini berhasrat mengekalkan harga makanan popular itu walaupun harga barangan mentah telur dan roti meningkat.

Peniaga terbabit, Nor Hazelizan Mamat berkata, bagaimanapun dia akan mengurangkan ketebalan roti yang disediakan kepada pelanggan tetapi terus mengekalkan telur yang digunakan iaitu gred B dan C.

NOR HAZELIZAN
NOR HAZELIZAN

Katanya, sebuku roti dibahagikan kepada lima bahagian berbanding empat yang digunakan sebelum ini untuk menghasilkan roti ayang dan roti ayang spesial.

"Roti biasa pula dipotong lapan berbanding tujuh potongan sebelum ini. Harga dikekalkan RM5 bagi roti ayang dan roti ayang spesial manakala roti lain dijual serendah RM2,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Masjid Diraja Long Yunus, Langgar di sini pada Sabtu.

Nor Hazelizan juga masih mengekalkan teh o ais dan sirap ais percuma kepada pelanggan sejak kedainya beroperasi bagi menghargai pelanggan.

Seorang lagi peniaga roti telur gedik atau diberi nama roti TikTok, Nurul Azura Hussain, 33, bercadang menaikkan harga makanan itu tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Nurul Azura menunjukkan roti TikTok yang akan dinaikkan RM5 daripada RM4.50. - Foto Sinar Harian
Nurul Azura menunjukkan roti TikTok yang akan dinaikkan RM5 daripada RM4.50. - Foto Sinar Harian

Dia yang berniaga di Pengkalan Chepa di sini mengakui terpaksa menaikkan harga makanan itu RM4.50 kepada RM5 kerana harga roti dan telur meningkat.

“Ramai peniaga sudah lama menaikkan harga kepada RM5 tetapi saya tidak mahu menyusahkan pelanggan dan kini bersedia untuk harga baharu itu,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga di Pengkalan Chepa di sini, Zarini Yusof, 53, berkata, harga jualan nasi bungkus untuk sarapan pagi di kedainya bergantung kepada pembekal.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini, harga masih kekal bagi semua nasi berlauk ayam iaitu RM3.50, lauk ikan RM3 manakala nasi lemak RM2.50 sebungkus.

“Harga bergantung kepada pembekal, sekiranya mereka menaikkan harga, maka saya terpaksa menaikkan juga harga jualan nasi bungkus ini manakala harga semua jenis air masih kekal sama,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pesara kakitangan awam, Ku Mohd Ali Ku Sulong, 67, berharap kerajaan mengambil tindakan wajar bagi membantu rakyat meringankan bebanan akibat kenaikan harga barangan mentah.

KU MOHD ALI
KU MOHD ALI

“Kami sebagai pesara masih boleh bertahan kerana ada pencen tetapi bagi rakyat yang bekerja sendiri dan berpendapatan rendah akan membebankan mereka.

“Saya berharap kerajaan mengawal kenaikan harga semua barangan kerana kenaikan kali ini terlalu mendadak,” katanya.

Zarini sedang melayan Syed Abdul Qadir yang membeli nasi bungkus di kedainya. - Foto Sinar Harian
Zarini sedang melayan Syed Abdul Qadir yang membeli nasi bungkus di kedainya. - Foto Sinar Harian

Seorang lagi kakitangan awam berkata, Syed Abdul Qadir Syed Mustapha, 31, menyifatkan kenaikan harga barangan mentah terutama sayur tidak masuk akal.

“Perkara ini akan membebankan isi rumah terutama yang mempunyai anak ramai,” katanya.