X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Tetapkan harga kawalan, pantau kenaikan harga mendadak

Selain daripada harga ayam dan minyak masak yang meningkat, harga sayur turut meningkat sejak dua minggu lalu.
A
A

SHAH ALAM - Penduduk di negeri ini menggesa kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga kawalan barangan keperluan harian dan mentah serta melakukan pemantauan secara kerap bagi mengawal kenaikan harga yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Tinjauan Sinar Harian di Seksyen 30, di sini dan Hulu Langat pada Jumaat mendapati penduduk di kawasan-kawasan tersebut meluahkan rasa terbeban dengan kenaikan harga barang mentah seperti ayam dan sayur-sayuran serta barang keperluan asas seperti minyak dan produk tenusu.

Hasil tinjauan turut mendapati jumlah harga barangan yang dibeli turut meningkat sebanyak dua kali ganda walaupun jumlah barangan yang dibeli adalah pada kuantiti sama.

Seorang penyelia sebuah pasar mini di Seksyen 30 di sini, Fazilah Mohd Mukhsin berkata, selain daripada barangan mentah seperti ayam dan sayur-sayuran yang mengalami peningkatan harga, produk runcit lain seperti produk tenusu, roti dan makanan segera turut berdepan perkara sama.

Menurutnya, barangan tersebut mengalami peningkatan sebanyak 50 sen, manakala produk lain seperti roti turut diumumkan akan naik harga sebanyak kira-kira 30 sen.

Fazilah
Fazilah

"Setakat ini memang ada pelanggan yang mengadu tentang kenaikan harga barang kerana mereka juga sedia maklum dengan isu tersebut menerusi media sosial.

"Harga daripada pembekal memang sudah sedia mahal, jadi kita sebagai pihak ketiga tidak boleh berbuat apa-apa tentang perkara itu.

"Saya harap pihak KPDNHEP memantau harga untuk barangan keperluan supaya ia tidak membebankan rakyat iaitu pembeli," katanya kepada SInar Harian pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Harga telur ayam naik sehingga RM2 sepapan

Telur Perak turut naik harga

Peralihan fasa punca harga barang naik

Bagi seorang pengusaha restoran makanan Barat di Kampung Kanchong Darat, Banting, Rafiuddin Rabu, 32, yang menggunakan ayam sebagai bahan utama dalam menunya sangat terbeban dengan kenaikan harga barang mentah tersebut sejak dua minggu lalu.

Walaupun terkesan dengan peningkatan harga ayam, Rafiuddin masih terus berniaga demi pelanggannya walaupun ia mengganggu proses penyediaan makanan dan terpaksa menanggung kerugian.

Rafiuddin
Rafiuddin

"Selain daripada kenaikan harga mendadak, stok ayam juga terhad, saya tidak pasti sama ada tiada bekalan atau berkurang.

"Saya terpaksa mengolah semula saiz hidangan untuk mengurangkan beban kepada pelanggan yang datang makan ke kedai saya," katanya.

Dalam pada itu, Siti Nur Aqilah Hazman, 27, berkata, kenaikan harga barangan keperluan sejak kebelakangan ini sangat memberi kesan kepada kehidupan sehariannya, terutamanya untuk dia yang datang dari Kota Bharu, Kelantan demi mencari rezeki di Selangor.

Dia yang bekerja sebagai seorang penyelia di Telok Panglima Garang berkata, harga barangan keperluan yang sering dibelinya meningkat daripada sekitar RM30 ke RM50 walaupun jumlah barang yang dibeli kekal pada kuantiti sama.

Siti Nur Aqilah
Siti Nur Aqilah

"Saya memang sangat terkesan dengan kenaikan harga barang sekarang, terutamanya apabila pendapatan yang saya terima tidak seberapa, tidak termasuk dengan kos sewa rumah dan penyelenggaraan kereta.

"Saya berharap kerajaan perlu meninjau harga barangan keperluan dengan lebih kerap supaya ia dapat dikawal," katanya.

Dalam perkembangan lain, salah seorang penduduk di Seksyen 30, di sini yang ingin dikenali sebagai Ani berkata, dia membelanjakan sekitar RM300 sebulan untuk barangan kering, manakala barangan mentah dibeli olehnya setiap hari.

Bagaimanapun, dia yang merupakan seorang suri rumah mengakui sedikit berkira untuk membelanjakan wang membeli barangan mentah dan keperluan lain sejak kenaikan harga barangan berlaku.

"Saya harap isu kenaikan harga barangan dapat diatasi dengan baik kerana ia turut memberi kesan kepada peniaga makanan yang terpaksa menanggung kos peningkatan harga dan memberi kesan kepada perniagaan mereka," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!