X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 22 Januari 2022

Harga telur ayam naik sehingga RM2 sepapan

Tinjauan harga di sebuah pasar raya di Selayang pada Jumaat. (Gambar kecil: Siti Rokiah)
A
A

SHAH ALAM - Harga telur ayam di beberapa kawasan di negeri ini dikesan naik sehingga RM2 sepapan bagi gred A sejak sebulan lalu.

Di Hulu Selangor, seorang pengusaha makanan, Nurul Aini Mohamed Ali, 34 berkata, sebelum ini dia hanya membayar RM10 bagi setiap papan telur yang diperoleh terus daripada pembekal tetapi kini naik kepada RM12.

Nurul Aini berkata, kenaikan itu menyebabkan pengusaha kecil sepertinya terpaksa menanggung kerugian susulan tidak 'sampai hati' untuk menaikkan harga makanan kepada pelanggannya.

"Walaupun harga naik, saya tiada pilihan dan perlu membelinya kerana ia merupakan barang keperluan untuk menjalankan perniagaan makanan.

"Mahu tak mahu kita sebagai peniaga kena tanggung kos kerana tidak boleh naikkan harga makanan sesuka hati, jika tidak mungkin pelanggan akan lari dan kita tidak mahu perkara ini berlaku, " katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu di Rawang, pengusaha bakeri, Siti Zubaidah Jamil, 51, mengakui dia turut menyedari kenaikan harga telur ayam di kawasannya.

"Harga naik turun itu biasa, namun kita faham sejak kebelakangan ini banyak harga barang naik disebabkan pandemik. Saya dimaklumkan yang harga telur ayam naik disebabkan harga dedak naik.

"Saya biasa beli telur ayam gred A dan B, sebelum ini harganya sekitar RM9 hingga RM 10 sehaja dan sekarang naik sekitar RM11 hingga RM12 sepapan," katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk dari Sri Damansara, Hashim Ahmad, 43, berkata, kenaikan harga barang bukan hanya melibatkan telur ayam sahaja tetapi hampir kebanyakan barangan makanan.

"Malaysia ini pengeluar makanan tetapi harga makanan banyak yang naik. Kalau dahulu harga sotong boleh dapat RM18 sekilogram tetapi kini harganya naik sekali ganda, begitu juga bahan makanan basah yang lain.

"Kenaikan ini mungkin disebabkan pengaruh daripada orang tengah, isu ini bukan benda baharu dan saya berharap kerajaan boleh memantau dan melihat perkara ini dengan serius, " katanya.

Bagi seorang penduduk dari Kepong, Siti Rokiah Hanafiah, 64 berkata, dia kurang ambil tahu mengenai kenaikan harga barangan memandangkan berbelanja mengikut keperluan.

"Memang banyak barang naik harga tetapi kita sebagai pembeli kena bijak, kalau kita rasa barang itu mahal kita ambil barang yang murah.

"Macam saya kurang makan telur ayam dan keluarga pula tak ramai jadi tak perasan dengan kenaikan tersebut. Tambahan pula, saya penerima bantuan makanan Baitulmal jadi kurang membeli barang makanan di luar," ujarnya.

Tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di Selayang mendapati harga bagi sepapan telur ayam bagi gred A adalah RM12. 69.

Seorang pekerja di pasar raya itu memaklumkan, kenaikan harga itu tidak menentu dan bergantung kepada keadaan.

"Saya pernah imbas harga bagi gred sama paling murah adalah RM10, namun adakalanya dijual pada harga RM11 dan terbaharu RM12. 69," katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pasar raya berkenaan tidak berdepan masalah kekurangan stok bagi barangan keperluan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:Telur ayam naik harga RM1.50 sepapan

ARTIKEL BERKAITAN:Telur Perak turut naik harga


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!