Jumlah mangsa banjir di Hilir Perak menurun

Seramai 102 mangsa masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) pada pagi Jumaat berbanding 146 mangsa pada Khamis. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Seramai 102 mangsa masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) pada pagi Jumaat berbanding 146 mangsa pada Khamis. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak menurun kepada 102 mangsa daripada 33 keluarga pagi ini berbanding 146 mangsa daripada 48 keluarga pada Khamis.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Perak berkata, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) berkurangan kepada 63 mangsa daripada 20 keluarga.

"PPS Dewan Serbaguna Chikus, Langkap pula menempatkan seramai 39 mangsa daripada 13 keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

PPS MPTI yang dibuka pada jam 3 petang Rabu lepas menempatkan penduduk dari lima kampung iaitu Kampung Sungai Rambai, Kunci Air 12 Headwork, Kampung Tanjong Keramat, Sungai Kucing dan Sungai Seluang.

PPS Dewan Serbaguna Chikus pula dibuka pada jam 10 malam hari yang sama menempatkan penduduk dari Kampung Belt, Kampung Kunci Air 12, Parit 4, 5, 6 dan 7, Chikus.

Banjir kilat itu berlaku akibat limpahan air Sungai Batang Padang menyebabkan kawasan penempatan penduduk dinaiki air setinggi 0.3 meter. - Bernama

Artikel Berkaitan: