X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 05 Disember 2021

Mohd Rafiq letak jawatan Pengerusi PN, Ketua Bersatu Melaka

Mohd Rafiq Naizamohideen.
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Surat rasmi peletakan jawatan beliau akan diserahkan kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, peletakan jawatan ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka supaya mempunyai masa yang cukup bagi membuat segala persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Peletakan jawatan ini juga bagi membolehkan segala fokus dapat saya berikan untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

"Serta memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab saya sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU15," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berharap dan berdoa agar rakyat Melaka dan rakyat Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada PN di bawah pimpinan Muhyiddin.

"Moga-moga Perikatan Nasional akan mencapai kejayaan yang cemerlang pada PRU15 nanti," ujarnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada Sabtu lalu, Mohd Rafiq yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas memperoleh 3,976 undi sekali gus tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang mendapat 6,052 undi.

Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Asraf Mukhlis Minghat pula mendapat 3,891 undi manakala calon bebas Muhammad Arif Adly Mohammad memperoleh 153 undi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!