PKPS jamin harga sayur dijual berpatutan, murah

Info grafik PKPS berhubung harga jualan sayuran dijual lebih murah dan berpatutan berbanding harga pasaran.
Info grafik PKPS berhubung harga jualan sayuran dijual lebih murah dan berpatutan berbanding harga pasaran.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberi jaminan harga jualan produk sayurannya kekal pada harga rendah dan berpatutan meskipun berlaku kenaikan mendadak harga produk itu di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, harga pelbagai jenis sayur-sayuran dijualnya jauh lebih murah sehingga RM9 sekilogram berbanding harga pasaran.

"Sebagai contoh, sayur pak choy yang dijual pada harga RM9 sekilogram di pasaran kami jual hanya pada harga RM3.50 sekilogram, manakala kacang buncis pada harga RM15 sekilogram dijual pada harga RM6 sekilogram," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad Khairil berkata, PKPS mempunyai mekanisme kawalan harga sendiri memandangkan ladangnya di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya mengeluarkan hasil sayuran sendiri.

Justeru katanya, PKPS melancarkan kempen jualan mega jimat untuk memastikan rakyat Selangor terus mendapat akses kepada sayuran berkualiti pada harga rendah.

Katanya, jualan harga rendah itu sebagai menyahut saranan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mahu melihat PKPS sebagai peneraju inisiatif jaminan bekalan negeri.

"Kami akan terus memikirkan kaedah membantu rakyat Selangor lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil.

"Ketika keperluan mendesak seperti ini, peranan PKPS amat penting dan jangan risau, Insya-ALLAH PKPS ada (menawarkan harga sayuran lebih murah)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kempen jualan mega jimat itu juga adalah sebahagian daripada promosi memperkenalkan jenama komersial PKPS iaitu Ehsan kepada orang ramai.

Mohamad Khairil berkata, lokasi dan kaedah jualan akan dikongsi di laman Facebook dan Instagram PKPS.

"Senarai sayuran yang akan dijual antaranya sawi hijau, brokoli, cili merah, cili hijau, kangkung, bayam merah, terung, timun dan sebagainya.

"Selain itu, Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan akan turut mengadakan sesi jualan sayuran murah menerusi aplikasi dalam talian 'mypasarborong' dalam masa terdekat sebagai alternatif kepada pembeli yang mahu kemudahan penghantaran ke rumah.

Untuk maklumat lanjut mengenai jualan sayuran murah ini boleh hubungi talian 019-316 2400 pada waktu pejabat.