‘Kerajaan jamin harga beras tempatan kekal’ - Mat Sabu

Mohamad ketika dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Mohamad ketika dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan bahawa harga bagi beras putih tempatan kekal sekitar RM2.60 sekilogram.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, hanya harga beras import berkualiti tinggi sahaja yang mengalami kenaikan harga dan tidak menjejaskan harga beras tempatan.

“Sekarang ini heboh tentang beras putih naik harga (sebanyak) lima peratus. Saya memberi jaminan yang naik harga itu adalah beras import yang berkualiti tinggi untuk makanan orang-orang berada.

“Tetapi untuk orang awam, rakyat Malaysia, keadaan beras (tempatan) terjamin di sekitar RM2.60 sekilogram,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang meminta kerajaan menyatakan langkah yang diambil oleh kementerian untuk menambah baik kedudukan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) Malaysia dan untuk memastikan bekalan bahan makanan penting seperti telur, gula dan beras mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementeriannya turut meningkatkan usaha untuk mencukupkan pengeluaran beras tempatan termasuk melaksanakan Program Smart Sawah yang berskala besar.

"Memang sekarang ini pesawah kebanyakannya dijalankan oleh mereka yang berumur. Dengan konsep berskala besar dan penggunaan teknologi baru, anak muda mula terlibat secara aktif.

“Misalnya di Kedah kita lihat pemandu dron, semuanya anak-anak muda dan berkelulusan universiti.

"Mereka terlibat secara aktif dalam pertanian dan kita sedang galakkan lagi dengan memberikan pelbagai insentif kepada mereka," ujarnya.

Beliau juga yakin Malaysia boleh mencukupkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi beras sekiranya usaha berteruskan dilakukan dengan cara moden dan baru.

"Stok beras kita alhamdulillah mencukupi walaupun dalam keadaan pandemik. Soal beras ini, tidak berlaku kekurangan walaupun kadang-kala ada kekurangan di satu dua tempat," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, pihak Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan kerajaan sentiasa berpadu tenaga untuk memastikan beras mencukupi walaupun ketika suasana sukar.