Majlis angkat sumpah Exco Melaka dijangka esok

Sulaiman- Foto Bernama
Sulaiman- Foto Bernama
A
A
A
AYER KEROH- Majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka dijangka berlangsung petang esok selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dijadual mengadakan pertemuan bagi mempersembahkan senarai nama barisan Exco kepada Mohd Ali sebelum satu sidang media bakal diadakan kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurut sumber, majlis mengangkat sumpah itu kemudian akan diadakan pada sebelah petang selepas solat Jumaat di Dewan Seri Negeri, di sini.

“Sidang media mengumumkan senarai Exco dijangka akan dilakukan sebelah pagi selepas Ketua Menteri menghadap Tun Mohd Ali dan majlis angkat sumpah Exco pula dijangka selepas (solat) Jumaat.

“Jika semua berjalan lancar, sidang media itu dijangka jam 11.30 pagi,”kata sumber itu ketika dihubungi Astro AWANI.

Perlantikan Exco Melaka menjadi tumpuan berikutan selain Sulaiman, hanya dua bekas Exco dikekalkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, sekali gus bakal menyaksikan barisan Exco muka baharu kali ini.

Turut menjadi tumpuan adalah soal kedudukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu Perikatan Nasional (PN) sama ada akan turut dilantik sebagai Exco atau tidak.

Sulaiman sebelum ini dilaporkan berkata, meskipun kerjasama kerajaan PN masih berjalan di peringkat Persekutuan, namun senario PRN lalu yang menyaksikan BN bertanding solo perlu diambil kira.

Terdahulu, Sulaiman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada jam 12.58 tengah malam 20 November lalu, sejurus selepas PRN Melaka menyaksikan BN mendapat majoriti dua pertiga.

Artikel Berkaitan:

Keputusan rasmi menunjukkan BN, yang diwakili UMNO, MCA, dan MIC berjaya mendapat 21 daripada keseluruhan 28 kerusi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung di hadapan Mohd Ali di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Seri Negeri di sini. -Awani