X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Pulau Pinang benarkan imarah masjid secara bersemuka

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan semua aktiviti pengimarahan di semua masjid dan surau di seluruh negeri itu diadakan secara bersemuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bermula solat Subuh pada Jumaat.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, aktiviti pengimarahan yang dibenarkan antaranya majlis rasmi dan aktiviti sosial seperti aktiviti ceramah agama, kelas pengajian, mesyuarat jawatankuasa, majlis akad nikah, jamuan makan dan program gotong-royong.

"JHEAIPP juga membenarkan penceramah atau khatib solat Jumaat dari luar negeri Pulau Pinang untuk menyampaikan ceramah atau khutbah Jumaat, namun mereka perlu mendapatkan vaksinasi lengkap dan perlu membuat ujian saringan Covid-19 dengan keputusan negatif dan mendapat kebenaran khas daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bermula Jumaat juga jemaah yang bukan ahli kariah dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah secara berjemaah di mana-mana masjid atau surau di seluruh Pulau Pinang mengikut keluasan ruang solat dan ruang yang bersesuaian.

Mohd Zakuan berkata, kawasan solat itu hendaklah dipagari bagi memastikan pematuhan SOP dapat dilakukan dengan sempurna dan jemaah yang hadir ke surau atau masjid perlu sihat.

Katanya, semua kebenaran itu masih tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Jemaah perlu membuat pendaftaran melalui MySejahtera, membuat pemeriksaan suhu badan, wajib memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan, membawa sejadah bersaiz besar dan mengekalkan penjarakan satu meter seperti yang telah dinyatakan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!