BSN bantu pelanggan B50 terjejas melalui URUS

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Simpanan Nasional (BSN) membantu pelanggan B50 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 melalui Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS).

Program itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Oktober lalu adalah satu kerjasama antara industri perbankan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, tidak dinafikan bahawa masih ramai lagi pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan memerlukan sokongan daripada pihak bank untuk meringankan beban kewangan mereka.

“Melalui URUS, hampir 300,000 pelanggan BSN yang terdiri daripada kategori B50 boleh mendapatkan bantuan yang ditawarkan sekali gus memperkukuhkan kedudukan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Jay, URUS ditawarkan kepada pelanggan B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,880 merangkumi pengecualian faedah untuk tiga bulan, dan/atau pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah.

Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka. Permohonan program URUS dibuka dari 15 November sehingga 31 Januari 2022.

Selain URUS, BSN juga masih meneruskan Program Bantuan Bayaran Balik dan Skim Mikro Kredit Pemerkasa bagi membantu usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Untuk keterangan lanjut mengenai bantuan-bantuan yang disediakan, boleh layari laman sesawang www.bsn.com.my atau hubungi talian 1300-88-1900. - Bernama

Artikel Berkaitan: