Scammer: Bank perlu ubah polisi call pelanggan

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini Merak Jalanan sering mendapat panggilan telefon dari bank sama ada mereka ingin memberi pelbagai maklumat mengenai perbankan ataupun 'memancing' melanggan insurans mereka.

Dengan senario hari ini yang terdapat pelbagai jenis penipuan terutama penipuan scammer sama ada melalui panggilan ataupun menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Merak Jalanan yakin orang ramai semakin berhati-hati.

Begitu juga Merak Jalanan, apabila mendapat panggilan telefon yang tidak tertera nama si pemanggil, sudah pasti akan lebih berhati-hati.

Untuk itu, diharapkan agar bank-bank dapat mengubah polisi masing-masing apabila meminta kakitangan mereka menghubungi pelanggan terutama sekali dengan tujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai perbankan.

Pada Merak Jalanan, sekiranya pihak bank yang menghubungi pelanggan, polisi di mana pelanggan perlu mengesahkan nombor empat digit belakang kad pengenalan tidak lagi boleh diguna pakai kerana pastinya pelanggan tidak akan memberi dengan sewenang-wenangnya, lainlah sekiranya kita sendiri yang menghubungi bank.

Masalahnya sekarang apabila Merak Jalanan enggan memberikan empat digit berkenaan, kakitangan bank tersebut marah kerana alasan tidak beri kerjasama. Sudah pasti Merak Jalanan tidak akan memberikan kerjasama kerana yang akhirnya akan menjerat diri sendiri.

Jadi Merak Jalanan berharap pihak bank akan mengubah prosedur sedia ada dan yang betul-betul dapat meyakinkan masyarakat bahawa mereka bukan dihubungi scammer.

Yang pasti dengan pelbagai masalah yang ditimbulkan scammer, bukan sahaja pihak bank tetapi mana-mana juga syarikat perlu mengubah polisi mereka dalam usaha melindungi masyarakat.

Jadi nasihat Merak Jalanan kepada orang ramai agar berhati-hati apabila menerima panggilan telefon agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan.