4,000 pelajar UMT dapat manfaat Food@Campus

No Image Caption
A
A
A

KUALA NERUS – Lebih 4,000 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima bantuan baucer makanan melalui program sumbangan Food@Campus hasil inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Khamis.

Naib Canselor UMT, Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, agihan baucer melibatkan peruntukan berjumlah RM100,050 itu menyasarkan kumpulan B40 sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan.

“Sumbangan ini direalisasikan untuk memenuhi hasrat KPT Prihatin, UMT Prihatin dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Cakna serta sebagai pengukur kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mengurangkan beban pelajar universiti yang terkesan akibat pendemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, setakat ini pelbagai bentuk sumbangan telah disalurkan kepada pelajar khususnya kumpulan B40 melibatkan jumlah keseluruhan RM558,000.

"Antara bantuan itu ialah bantuan Khas Covid-19, bantuan kemudahan pembelajaran seperti komputer riba dan pelan data internet, bantuan makanan percuma melalui program AOK dan Gerobok Rezeki.

“Bantuan lain yang diberikan adalah khairat kematian, talian e-Kaunseling dan lain-lain. Kita berterima kasih kepada semua penyumbang, penaja dari pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Nur Fara Natasha Mat Saari terharu dengan keprihatinan kerajaan dan UMT dalam mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh mahasiswa ketika meneruskan pengajian.

“HEPA UMT sangat peka terhadap kesusahan yang dialami oleh pelajar seperti saya kerana bantuan ini disalurkan sejurus selepas sebulan saya masuk semula ke kampus,” katanya.

Artikel Berkaitan: