Proses domestik lengkapkan ratifikasi RCEP perlu pinda tiga akta

Mohamed Azmin pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Mohamed Azmin pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses domestik untuk melengkapkan ratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) memerlukan pindaan ke atas tiga akta bagi memastikan akta tersebut sejajar dengan obligasi negara di bawah Perjanjian RCEP.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, draf pindaan akta tersebut sedang diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara dan setelah pindaan tersebut diluluskan, Malaysia akan menyerahkan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN.

“Sebagaimana yang termaktub dalam Perenggan 3 Artikel 20.6 Perjanjian RCEP, 60 hari selepas tarikh surat cara ratifikasi dihantar kepada Sekretariat ASEAN, Perjanjian RCEP akan berkuatkuasa ke atas Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin mengetahui status penyertaan Malaysia dalam RCEP memandangkan ia akan berkuatkuasa secara rasmi pada 1 Januari 2022.

“Ia akan dibentangkan di Parlimen pada Disember ini selepas diteliti untuk mendapat persetujuan dewan sebelum Malaysia mengemukakan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN dan inilah komitmen kerajaan untuk meratifikasikan perjanjian RCEP selewat-lewatnya pada akhir tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan penilaian Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), nilai eksport negara dijangka akan bertambah sebanyak RM44 bilion setahun apabila RCEP berkuatkuasa.

“Sehingga 2 November ini, 10 negara anggota iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, New Zealand dan Australia telah meratifikasi Perjanjian RCEP.

“Berikutan perkembangan ini, negara anggota RCEP telah melengkapkan syarat minimum ratifikasi dan dengan ini tarikh mula berkuatkuasanya Perjanjian RCEP adalah pada 1 Januari 2022,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Azmin berkata, penguatkuasaan ini hanya terpakai ke atas 10 negara tersebut. -Bernama